KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mahu Belanjawan 2027 diterjemahkan kepada pelaksanaan projek pembangunan yang nyata bagi merapatkan jurang pembangunan Sabah, meskipun negeri itu menerima peruntukan RM18.7 bilion, tertinggi antara negeri.
Ketua Penerangan PBS, Dr. Bonaventure Boniface berkata, parti itu menyambut baik peruntukan berkenaan dan akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Bagaimanapun, katanya, kenaikan 6.2 peratus daripada RM17.6 bilion tahun ini perlu dilihat berdasarkan keperluan Sabah untuk merapatkan jurang pembangunan, berbanding kenaikan belanjawan keseluruhan sebanyak 8.5 peratus kepada RM510 bilion dan peningkatan 7.3 peratus bagi Sarawak.
“PBS menghargai peruntukan ini serta komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah. Pada masa yang sama, kami berpandangan bahawa usaha merapatkan jurang pembangunan memerlukan peruntukan yang sepadan dengan keperluan dan cabaran sebenar negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Bonaventure Boniface
Dr. Bonaventure berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyatakan dalam pembentangan Belanjawan 2027 bahawa wilayah yang masih ketinggalan mesti diberikan kekuatan untuk merapatkan jurang perbezaan.
Beliau berkata, Sabah dan Sarawak masing-masing menerima tambahan RM1.1 bilion dan berharap kerjasama berterusan dengan Kerajaan Persekutuan dapat membuka ruang kepada sokongan tambahan berdasarkan keperluan Sabah.
Mengulas strategi pertumbuhan ekonomi, beliau berkata Belanjawan 2027 menyenaraikan zon dan hab ekonomi di Johor, utara Semenanjung, Pulau Pinang dan Perak, selain rundingan rasmi bagi Zon Ekonomi Khas Sibu di Sarawak, tetapi tiada inisiatif seumpamanya diumumkan untuk Sabah.
“Jalan dan elektrik ialah asas penting pembangunan. Pada masa yang sama, Sabah memerlukan strategi pertumbuhan yang membawa pelaburan, mengembangkan industri dan menyediakan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kedudukan Sabah yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia, sambil menyatakan bahawa meskipun ucapan belanjawan menyifatkan sempadan negara sebagai gerbang baharu kemakmuran, inisiatif yang disebut untuk kawasan itu hanya melibatkan naik taraf jalan sempadan.
Dr. Bonaventure juga mempersoalkan ketiadaan pecahan khusus bagi peruntukan bersama yang diumumkan untuk Sabah dan Sarawak.
Antaranya ialah RM3.3 bilion bagi projek jalan raya, hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 sekolah daif, 4,200 tempat tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setahun dan RM350 juta bagi kerja penyelenggaraan jalan oleh kontraktor G1 hingga G4.
“Keperluan, taburan penduduk dan cabaran pembangunan Sabah dan Sarawak berbeza. Pecahan peruntukan yang jelas akan membantu penyelarasan pelaksanaan dan membolehkan rakyat menilai kemajuan projek di negeri masing-masing,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Sabah tidak dinamakan dalam senarai kemudahan kesihatan baharu dan projek tebatan banjir bagi 2027 yang diumumkan, lalu meminta Kerajaan Persekutuan menjelaskan sama ada projek untuk Sabah terkandung dalam dokumen penuh belanjawan.
Dalam pada itu, Dr. Bonaventure menyambut baik beberapa langkah yang disifatkannya dapat menangani masalah harian rakyat Sabah.
Ini termasuk pemasangan sistem Statcom di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud bernilai RM204 juta, peruntukan RM600 juta bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik, serta pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dan Sarawak-Sabah Link Road 1 yang disasarkan siap pada hujung tahun depan.
Beliau turut mengalu-alukan peluasan insentif pembajakan RM300 sehektar kepada pesawah di Sabah serta Pemberian Khas interim RM1.5 bilion yang dijadual dilunaskan sebelum akhir tahun.
“PBS mengalu-alukan langkah ini dan mahu kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan terus diperkukuh supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan enam cadangan untuk diberi perhatian melalui kerjasama kedua-dua kerajaan.
Cadangan berkenaan ialah menerbitkan pecahan peruntukan khusus Sabah bagi setiap peruntukan bersama; memulakan rundingan rasmi bagi penubuhan zon ekonomi khas di Sabah; melaporkan kemajuan projek jalan raya dan elektrik setiap suku tahun; menyenaraikan sekolah daif di Sabah yang akan dinaik taraf pada 2027; mengesahkan projek kesihatan dan tebatan banjir untuk Sabah; serta memuktamadkan formula tahunan Pemberian Khas.
Dr. Bonaventure turut menegaskan bahawa penerimaan bayaran interim tidak menjejaskan tuntutan Sabah terhadap hak 40 peratus hasil bersih Kerajaan Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.
“Bayaran interim merupakan langkah sementara dan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad kepada tuntutan tersebut. PBS melalui GRS akan terus memperjuangkan hak ini melalui rundingan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, PBS melalui GRS akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi rundingan, penyelarasan dasar dan pemantauan pelaksanaan bagi memastikan setiap peruntukan yang diumumkan membawa manfaat kepada Sabah.
“Kami mahu komitmen Belanjawan 2027 diterjemahkan kepada projek yang terlaksana, perkhidmatan asas yang lebih baik dan peluang ekonomi yang lebih luas. Kepentingan rakyat Sabah akan terus menjadi keutamaan PBS,” katanya.
Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dibentangkan oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat pada 9 Oktober.


































