KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd meraih enam pengiktirafan dalam IGNITE 2026 Project Management Awards, membuktikan keupayaan tenaga kerjanya dalam pengurusan projek, inovasi digital dan kepimpinan dalam industri tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata pencapaian itu menyerlahkan kecemerlangan pelaksanaan projek serta keupayaan modal insan syarikat mengaplikasikan kepakaran teknikal, pendigitalan dan kepimpinan projek bagi menghasilkan nilai kepada organisasi dan pelanggan.
“Pencapaian ini memperlihatkan bagaimana gabungan kepakaran kejuruteraan, keupayaan digital dan kepimpinan projek memainkan peranan penting dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan nilai tambah kepada operasi syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sabah Electricity menerima pengiktirafan berkenaan pada majlis yang berlangsung di KLGCC Convention Centre, Kuala Lumpur, pada 13 Oktober.
Antara pencapaian utama ialah Ir Dayang Sitti Noradzlin Yunos yang memenangi kategori Best Project Manager (Non PMIMY Member), manakala Ir Ts Suadi Wahab, PMP menerima Honourable Mention bagi kategori Best Project Manager (PMIMY Member).
Syarikat itu turut memenangi kategori Outstanding Project (Construction / Infrastructure) menerusi Projek Capacitor Bank 132kV di PMU Tawau dan kategori Best Digital & AI menerusi Major Project Division Digitalization Project.
Projek PPU Benoni 33/11kV di Papar pula menerima Honourable Mention dalam kategori Engineering & Technology.
Sabah Electricity turut mara ke peringkat akhir kategori Best Project of the Year (Excellence Award).
Menurut Mohd Yaakob, selaras dengan tema IGNITE 2026, Project Manager as Orchestrator: The Guardian of Project Value, kejayaan pengurusan projek bukan sekadar diukur berdasarkan tempoh pelaksanaan dan kos, tetapi turut mengambil kira nilai, impak serta manfaat jangka panjang yang dihasilkan.
Beliau berkata pengiktirafan itu mengukuhkan kepentingan modal insan sebagai aset strategik organisasi, sejajar dengan usaha syarikat membangunkan kompetensi, menggalakkan perkongsian ilmu, memperkukuh kepimpinan dan menerapkan budaya inovasi.
Katanya elemen berkenaan penting dalam membina pasukan yang mampu mendepani cabaran teknologi serta keperluan sistem bekalan elektrik yang semakin kompleks.
Sabah Electricity turut menerima pengiktirafan pada 2025 apabila projek Battery Energy Storage System (BESS) di Lahad Datu meraih tiga pengiktirafan menerusi Project Management Awards 2025.
Pengiktirafan itu merangkumi Best Project Manager, Green Initiative Winner dan Best Project of the Year – Excellent Award, mencerminkan pencapaian dalam pengurusan projek, penerapan inisiatif hijau dan pembangunan infrastruktur tenaga.
Mohd Yaakob berkata Sabah Electricity akan terus memperkukuh keupayaan dan profesionalisme tenaga kerjanya bagi memastikan kepakaran yang dimiliki dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek yang lebih cekap, inovatif dan mampan.
“Usaha ini juga penting bagi menyokong peningkatan kebolehpercayaan bekalan elektrik serta mutu perkhidmatan kepada pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
































