KUALA LUMPUR (Bernama): Tourism Malaysia hari ini melancarkan tiga produk pelancongan iaitu Edu+ 2.0, EatVenture dan Taste of Orchard sempena Kempen Melawat Malaysia 2026-2027, yang menawarkan 118 pakej serta itinerari berasaskan pengalaman bagi memperluas pilihan pelancongan domestik dan antarabangsa.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata ketiga-tiga produk itu menyasarkan kumpulan pelancong tertentu menerusi pengalaman yang menggabungkan elemen pendidikan, gastronomi, pertanian, budaya, alam semula jadi dan komuniti setempat.
Beliau berkata 118 pakej dan itinerari yang diperkenal itu merangkumi 29 pakej Edu+ 2.0, 23 pakej gastronomi EatVenture dan 66 pakej agropelancongan Taste of Orchard.
“Ketiga-tiga pakej ini merupakan produk niche market yang menyasarkan kumpulan pelancong tertentu sama ada domestik mahupun antarabangsa.
“Ia juga dilancarkan bagi menyahut seruan kerajaan untuk mempelbagaikan produk pelancongan supaya tidak tertumpu kepada produk tertentu sahaja,” katanya pada majlis pelancaran pakej pelancongan berkenaan di Saloma Kuala Lumpur di sini.
Mohd Amirul Rizal berkata kepelbagaian produk itu turut memberi peluang kepada pelancong yang pernah berkunjung ke Malaysia untuk meneroka pengalaman baharu pada kunjungan seterusnya sekali gus mendorong mereka mengunjungi lebih banyak destinasi dan melanjutkan tempoh penginapan.
“Pakej yang ditawarkan menyajikan pengalaman pembelajaran menyeluruh… contohnya, program di farmstay bukan sekadar penginapan inap desa malah memberi peluang kepada pelancong mempelajari ternakan ikan tilapia, pengurusan kebun durian serta menyaksikan demonstrasi penyediaan makanan tradisional dalam satu lokasi,” katanya.
Beliau berkata pakej Edu+ 2.0 memberi peluang kepada pelajar antarabangsa mengikuti program jangka pendek yang bukan sahaja memperkenal budaya dan warisan Malaysia malah mewujudkan pengalaman pertukaran budaya serta persefahaman yang bermakna.
Program pendidikan itu, katanya, dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI), dengan penglibatan institusi pendidikan, agensi pelancongan, pengusaha produk pelancongan serta pemain industri berkaitan.
EatVenture pula mengetengahkan kepelbagaian warisan kulinari Malaysia melalui makanan, hidangan tempatan serta pengalaman berkaitan tradisi dan budaya makanan.
Sementara itu, Taste of Orchardmemberi tumpuan kepada produk utama seperti durian, harum manis, koko, gula apong, empurau dan nanas, selain menawarkan pengalaman menerokai landskap pertanian seperti di ladang durian, pendidikan agro, pelancongan berasaskan komuniti serta pengalaman di dusun.
Mohd Amirul Rizal berkata produk agropelancongan berkenaan berpotensi mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada komuniti tempatan termasuk petani, pengusaha inap desa, pemandu pelancong, pengusaha makanan, penggiat kraf serta perusahaan mikro dan kecil.
Maklumat mengenai pakej yang ditawarkan boleh diperoleh melalui platform promosi rasmi Tourism Malaysia. — BERNAMA
































