KUALA LUMPUR (Bernama): Kontinjen Malaysia hari ini mengumpul tiga pingat emas dan lima pingat gangsa, sekali gus mencapai 50 peratus daripada sasaran enam pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata tiga pingat emas itu memberikan momentum yang sangat baik kepada kontinjen Malaysia, namun mengingatkan atlet negara agar tidak terlalu selesa kerana masih banyak acara akan dipertandingkan, sekali gus memberi peluang untuk menambah pingat.
“Syabas dan tahniah kepada semua atlet yang telah menyumbang pingat kepada negara. Ini membuktikan kerja keras mereka bersama-sama jurulatih, persatuan dan seluruh pasukan sokongan di belakang mereka mampu membuahkan hasil.
“Setiap mata, setiap saat dan setiap peluang amat bermakna. Kita mahu melihat semua atlet memberikan yang terbaik, berjuang sehingga ke saat terakhir dan membawa semangat Malaysia dalam setiap pertandingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jefri turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus memberikan sokongan dan doa kepada atlet-atlet negara yang sedang berjuang di Aichi-Nagoya.
Terdahulu, pingat emas sulung negara disumbangkan atlet karate wanita Adeola Fay Robert menerusi acara kumite individu bawah 55 kilogram (kg) manakala pingat emas kedua hadir menerusi atlet e-sukan Taj Izrin Aiman Taj Madira yang mencipta kejutan dalam acara eRacing – Gran Turismo 7.
Pingat emas ketiga pula hadir menerusi seorang lagi atlet karate Shahmalarani Chandran dalam acara kumite individu wanita bawah 50kg selepas menewaskan lawan dari Hong Kong Tsang Yee Ting.
Lima pingat gangsa disumbangkan oleh Thevendran Kaliana Sundram dalam kumite individu lelaki 55kg, Sureeya Shankar Hari Shankar dalam kumite individu lelaki 60kg, pasukan karate kata lelaki, Tan Cheong Min dalam wusyu wanita nanquan dan nandao serta Clement Ting Su Wei dalam wusyu lelaki daoshu dan gunshu. — BERNAMA
































