Awang Ahmad ketika berucap pada majlis perasmian.
PUTATAN: Pemimpin dan masyarakat diseru sentiasa menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran serta sunnah Rasulullah SAW, terutama dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Awang Sahari, kefahaman terhadap ajaran Islam yang sebenar amat penting bagi memastikan urusan pentadbiran, pembangunan ekonomi rakyat serta pendidikan anak-anak dapat dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
“Sama-sama kita jalankan dengan baik, dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan rakyat yang semakin hari semakin bertambah ini mendapat pendidikan yang baik, ajaran yang baik dan juga agama yang baik.
“Begitu juga kepada pemimpin-pemimpin yang ada pada hari ini, harus dan wajib mengamalkan apa sahaja yang diajar melalui al-Quran dan juga sunnah-sunnah nabi.
“Kita tidak boleh beranggapan bahawa kita orang Islam, kita majoriti, kita ketepikan yang lain atau kurang pedulikan yang lain.
“Para pemimpin di segenap lapisan peringkat disaran agar memimpin secara ikhlas dan bersih daripada sebarang bentuk ketidakadilan mahu pun penindasan.
“Saya menyampaikan apa yang saya fahami agar kita sama-sama di peringkat kepimpinan sekalipun untuk memastikan tidak ada sebarang penindasan berlaku,” katanya ketika berucap merasmikan program Mahrajan Kesenian Islam dan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Daerah Putatan, di Dewan Sri Putatan, di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai sambutan berkenaan, Awang Ahmad berharap ia bukan sekadar acara tahunan rutin tetapi menjadi platform utama dalam mendidik masyarakat mengkaji dan mengambil pengajaran daripada sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW.
“Langkah ini penting dalam melahirkan masyarakat dan kepimpinan yang berilmu, bijaksana serta bersikap adil terhadap semua golongan tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.
Pada majlis berkenaan, Sekolah Agama Negeri (SAN) Integrasi Putatan dinobatkan sebagai johan Pertandingan Sepanduk Terbaik manakala Masjid Nurul Ihsan Kg. Ketiau muncul johan Kontinjen Terbaik bagi kategori terbuka dan SMK Putatan bagi kategori sekolah.
Sementara itu, Kg. Lok Kawi Baru dan Kumpulan Karisma masing-masingmuncul johan bagi Pertandingan Kompang dan Pertandingan Nasyid manakala
Kategori Perkuburan Raudah pula dimenangi oleh Taman Perkuburan Kg. Ketiau.
Hadir sama, ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, Pegawai Daerah, Masawi Salleh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Mahrajan Kesenian Islam dan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Daerah Putatan 2026 serta Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Ahmad Helmy Mohd Taib.
































