Juan Torres Garrido
KOTA KINABALU (Bernama): Ketua Jurulatih Sabah FC Juan Torres Garrido mengingatkan anak buahnya supaya tidak leka selepas memulakan kempen Liga Super dengan kemenangan apabila berdepan Penang FC di Stadium Likas, Jumaat ini.
Sabah FC, yang dikenali sebagai The Rhinos, memburu kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Star City 3-1 minggu lalu.
Garrido berkata kemenangan pada aksi pembukaan memberikan keyakinan kepada pasukan, namun Penang FC dijangka menghadirkan cabaran berbeza dan pemain perlu kekal fokus serta berdisiplin sepanjang perlawanan.
“Kami berpuas hati kerana memulakan musim dengan kemenangan dan berjaya mempamerkan corak permainan yang diinginkan, tetapi kini kami perlu melihat ke hadapan kerana Penang FC akan memberikan cabaran berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyifatkan Penang FC sebagai pasukan yang mantap dan tersusun, selain berbahaya ketika situasi bola mati, justeru pemain Sabah perlu mengekalkan intensiti sehingga wisel penamat.
Dalam usaha memburu mata maksimum bagi dua aksi pertama di laman sendiri, Garrido berkata pembangunan keserasian pasukan kekal menjadi keutamaan, terutama selepas tujuh pemain baharu diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Star City. — BERNAMA
































