Suasana semasa nyanyian lagu Jalur Gemilang.
KUDAT: Kepelbagaian kaum, budaya, bahasa dan adat yang dimiliki Sabah menjadi kekuatan dalam membina masyarakat yang harmoni, bersatu dan terus maju.
Penolong Pegawai Daerah Kudat, Malim Supre berkata, keunikan itu merupakan identiti istimewa yang perlu dihargai serta dipelihara bersama oleh seluruh masyarakat.
“Perbezaan inilah yang menjadikan Sabah begitu unik dan menjadi kekuatan kita dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni.
“Walaupun kita berbeza latar belakang, kita tetap berdiri di bawah satu semangat yang sama, iaitu Sabah yang bersatu, maju dan terus melangkah ke hadapan.
“Oleh itu, kita perlu terus memupuk rasa bangga sebagai anak Sabah serta mengekalkan keharmonian yang telah terbina.
“Semangat perpaduan tidak seharusnya hanya dizahirkan melalui sambutan dan perarakan, sebaliknya perlu diterapkan dalam kehidupan seharian dengan bekerja penuh integriti, saling menghormati, menjaga keharmonian serta memberikan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Tahun 2026, Peringkat Daerah Kudat, di Dewan Terbuka Tomborungus, pada Ahad.
Menurutnya, sambutan kemerdekaan juga menjadi kesempatan untuk masyarakat menghayati kembali sejarah pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu dalam membina negara dan negeri.
“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menghargai nikmat keamanan, keharmonian dan kebebasan yang diwariskan kepada kita.
“Marilah kita kibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah dengan penuh rasa bangga sebagai tanda kecintaan terhadap negara dan negeri.
“Diharapkan generasi akan datang dapat memimpin negeri dan negara ke arah masa depan yang lebih baik, dengan keamanan, kemakmuran dan peluang yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat,” ujarnya.
Dalam majlis berkenaan, pelbagai aktiviti turut diadakan bagi memeriahkan sambutan termasuk Pertandingan Mewarna bagi murid tahun lima dan enam, Pertandingan Karaoke Lagu Patriotik serta Pertandingan Fesyen Merdeka.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, Peter Tong Ah Pin dan Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, Ibu Pejabat Daerah (IPD), ASP Roning Mulut serta rombongan konvoi KMJG.


































