Hendry (kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Armilawana.
TAWAU: Program kemerdekaan tidak seharusnya bermusim, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan semangat patriotisme terus subur dalam kalangan masyarakat.
Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Hendry Nurdin berkata, pendedahan berkaitan kemerdekaan perlu diberikan lebih awal dan tidak hanya tertumpu pada Ogos dan September sahaja, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan.
“Sebagai warganegara yang merdeka, program berkaitan kemerdekaan seharusnya dilaksanakan sejak awal sebagai pendedahan dan persediaan awal menyambut hari kemerdekaan.
“Apabila kita membuat pendedahan awal, kita dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti pengibaran bendera terbalik dan sebagainya,” katanya ketika merasmikan Program JIWA Komuniti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Tawau 2026, di Kampung Jawa Kongsi 10, di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Armilawana Arshad berkata, pendidikan patriotisme sejak usia awal membolehkan kanak-kanak memahami kepentingan patriotisme serta menghayati makna di sebalik simbol negara.
“Pendidikan berkaitan cintakan negara seharusnya diajar pada usia kanak-kanak sejak awal lagi bagi memberikan mereka pemahaman mengenai patriotisme sebagai pendedahan berkaitan negara dalam pembelajaran mereka.
“Bila ia diberikan pendedahan awal, kanak-kanak akan tahu berkaitan negara serta tahu kenapa lagu Negaraku dinyanyikan setiap hari,” ujarnya.
Pada program tersebut, murid Tabika KEMAS, Muhammad Hakeem Arbain muncul sebagai johan pertandingan mewarna Kemerdekaan bagi kategori enam tahun, manakala Nurfathiah Imani Jusman johan bagi kategori lima tahun.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan Ziarah dan Infaq Merdeka, perarakan 45 buah motosikal merdeka, persembahan lagu patriotik serta penyerahan Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada kediaman terpilih.


































