Suasana ketika program KMJG 2026 daerah Lahad Datu.
LAHAD DATU: Masyarakat di Silam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah dengan menzahirkan semangat patriotisme serta kecintaan terhadap negara dan negeri Sabah.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, kehadiran masyarakat pada program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) dan Hari Sabah 2026 membuktikan masyarakat di daerah Lahad Datu sangat mencintai negara dan negeri yang disayangi
“Saya amat berbangga dan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ini adalah sebagai bukti bahawa kita adalah antara masyarakat di daerah Lahad Datu yang sangat mencintai negara kita yang tercinta dan negeri kita yang disayangi.
“Bukan sekadar dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta tetapi kita memastikan bahawa ada rasa sayang yang tidak berbelah bahagi, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan daerah, kepimpinan negara dan kepimpinan negeri Sabah.
“Rakyat perlu terus mendukung usaha membawa negara ke arah kemakmuran dan kejayaan, selain memastikan pembangunan yang dilaksanakan turut mengambil kira kesejahteraan rakyat.
“Saya menyeru masyarakat Kg Lamak dan seluruh warga Lahad Datu supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai tanda setia dan sayang kepada negara serta negeri Sabah,” katanya ketika berucap pada perasmian Program KMJG 2026 Daerah Lahad Datu di Dewan Sri Lamak, Silam, pada Selasa.
Beliau berkata, program berkenaan turut menjadi wadah untuk masyarakat mendapatkan informasi dan memahami pelbagai usaha kerajaan, selain merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti.
“Saya berharap negara kita akan terus makmur, terus berjaya memacu setara dengan negara-negara yang lain,” jelasnya.
Pengisian program turut merangkumi Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG) menerusi Kluster Industri dan Komuniti serta Langkah Jiwa Merdeka yang dilaksanakan di hadapan Sari Mart, Taman Aman 3.
Program berkenaan kemudian diteruskan di Kg Sepagaya, termasuk kunjungan ke Rumah Orang Kaya-Kaya (OKK) Tuan Haji Ator Semurong Awan, selain aktiviti walkabout, agihan bakul makanan dan kempen 1R1JG di Kg Bumiputera Silam.


































