Suasana ketika Program KMJG 2026 berlangsung.
KINABATANGAN: Sambutan Hari Sabah bukan sekadar acara perayaan, sebaliknya perlu menjadi wadah memperkukuh penghayatan sejarah dan menyemai kecintaan terhadap negara, khususnya dalam kalangan generasi muda serta masyarakat luar bandar.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Mokhtar berkata, mesej mengenai sejarah dan makna kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963 perlu diperluaskan agar dapat difahami serta dihayati seluruh lapisan masyarakat.
“Sambutan berkenaan penting, bukan sekadar acara perayaan sebaliknya satu bentuk seruan bahawa masa depan Sabah dan Malaysia bergantung kepada generasi yang memahami sejarah serta mempunyai nilai kecintaan terhadap negara.
“Ini merupakan tahun ketiga kita raikan Hari Sabah dan sambutan pun begitu baik. Kita mahu sambutan ini bukan sahaja setakat di dalam bandar, tetapi dibawa ke luar bandar agar semua merasai apa yang dirasai di bandar.
“Sambutan Hari Sabah di kawasan luar bandar juga penting bagi memastikan mesej mengenai sejarah dan makna kemerdekaan Sabah dapat disampaikan secara lebih meluas, selain membolehkan masyarakat setempat bersama-sama menghayati nilai patriotisme,” katanya ketika berucap semasa Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) dan Hari Sabah 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Garam II, pada Selasa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Mohd Ismail Ayub berkata, kesedaran mengenai Hari Sabah perlu dipupuk sejak peringkat sekolah dengan perbincangan lebih mendalam kepentingan tarikh 31 Ogos 1963 dalam sejarah Sabah.
Beliau berkata usaha memperkenalkan Hari Sabah tidak seharusnya terhad kepada pengibaran Jalur Gemilang dan bendera Sabah, sebaliknya perlu disusuli pemahaman terhadap sejarah serta penghayatan nilai cinta kepada negara.
“Bila kita menyebut bulan Ogos, ia bukan sahaja mengenai kemerdekaan Tanah Melayu, tetapi juga kemerdekaan Sabah.
“Sebab itu semua pihak perlu memainkan peranan daripada sekolah, guru, pemimpin masyarakat, jabatan kerajaan dan wakil rakyat untuk menyampaikan perkara ini kepada rakyat.
“Usaha berterusan melalui program kemasyarakatan dan pengisian berkaitan sejarah penting bagi memastikan generasi muda tidak sekadar mengetahui kewujudan Hari Sabah, tetapi memahami signifikan tarikh tersebut dalam perjalanan Sabah menuju pembentukan Malaysia,” ujarnya.
Untuk rekod, Kerajaan Sabah sebelum ini mewartakan 31 Ogos sebagai Hari Sabah bagi memperingati tarikh bersejarah kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963.


































