James Ratib
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengalu-alukan dan menghargai usaha Kerajaan Persekutuan, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), melaksanakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 bagi memperkukuh infrastruktur serta kesalinghubungan digital di seluruh negara termasuk Sabah.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, Kerajaan Negeri menghargai komitmen berkenaan, khususnya dalam memperluas akses Internet ke kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan cabaran liputan serta infrastruktur telekomunikasi.
“Bagaimanapun, kita mahu memastikan pelaksanaan JENDELA 2 tidak diukur semata-mata berdasarkan jumlah projek yang dilaksanakan atau sama ada ia siap mengikut jadual.
“Lebih penting, rakyat Sabah mesti menerima perkhidmatan Internet yang berkualiti, stabil dan boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengalaman lalu, khususnya berkaitan prestasi kesalinghubungan Internet di sekolah-sekolah di seluruh Sabah, perlu dijadikan pengajaran penting dalam pelaksanaan projek baharu.
“Kita sebelum ini telah membangkitkan kebimbangan mengenai prestasi kesalinghubungan Internet di sekolah-sekolah Sabah. Oleh itu, kita tidak mahu kelemahan sama berulang, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masyarakatnya amat bergantung kepada kesalinghubungan digital yang boleh dipercayai,” katanya.
Menurut James, bagi sektor pendidikan, kesalinghubungan Internet yang stabil bukan lagi kemudahan tambahan, sebaliknya merupakan keperluan penting bagi memastikan guru dan pelajar dapat mengakses pembelajaran digital, platform pendidikan serta sumber dalam talian dengan berkesan.
“Sabah tidak akan berkompromi mengenai kualiti kesalinghubungan, khususnya di kawasan luar bandar. Sebaik sesuatu projek dilaksanakan dan dianggap siap, rakyat seharusnya dapat menikmati perkhidmatan yang benar-benar berfungsi dengan baik serta memenuhi keperluan mereka,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa MCMC memastikan syarikat atau pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang dilantik untuk melaksanakan Bahagian 2 JENDELA 2 mempunyai keupayaan teknikal, kapasiti operasi dan rekod prestasi yang terbukti.
“Kita mahu MNO yang dilantik bukan sahaja mempunyai keupayaan menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan, tetapi turut mampu menyediakan kesalinghubungan yang baik dan konsisten selepas projek siap,” katanya.
Beliau menegaskan kualiti perkhidmatan perlu diberikan keutamaan yang sama dengan pembangunan infrastruktur telekomunikasi.
“Bagi Sabah, kejayaan JENDELA 2 tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan berapa banyak menara dibina atau berapa banyak kawasan diklasifikasikan mempunyai liputan.
“Ukuran sebenar kejayaan ialah sama ada penduduk di kawasan berkenaan benar-benar dapat mengakses Internet dengan berkesan, konsisten dan boleh dipercayai dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.
James turut menegaskan Kerajaan Sabah menghargai kerjasama Kerajaan Persekutuan dan MCMC dalam usaha merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar, luar bandar dan pedalaman.
“Kita mengalu-alukan JENDELA 2 dan sentiasa bersedia bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan serta MCMC.
“Pada masa sama, kita mahu memastikan kepentingan rakyat Sabah terus diberikan pertimbangan sewajarnya, khususnya dari segi kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan Internet,” katanya.
Beliau berkata, Sabah mahu JENDELA 2 bukan sahaja disiapkan mengikut jadual, tetapi turut memberikan kesalinghubungan yang bermakna dan berkualiti kepada rakyat.
“Justeru, kita berharap MCMC akan melantik MNO yang berkeupayaan dan berpengalaman serta mempunyai kapasiti untuk melaksanakan Bahagian 2 JENDELA 2 dengan baik, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah,” katanya.


































