Masidi (tengah) bersama Flovia (enam dari kiri) bersama rombongan Perkasa Hotel Holdings dan pegawai Kementerian Kewangan Sabah.
KOTA KINABALU: Profesionalisme dan etika dalam kalangan pekerja sektor perhotelan perlu diberi keutamaan bagi memastikan pelancong menerima perkhidmatan berkualiti serta layanan terbaik sepanjang berada di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tahap perkhidmatan, layanan mesra dan sikap profesional bukan sahaja mencerminkan imej sesebuah hotel, malah turut mempengaruhi persepsi pelancong terhadap kualiti hospitaliti dan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan.
“Kualiti perkhidmatan perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan pelancong menerima pengalaman terbaik sepanjang berada di Sabah, sekali gus meningkatkan keyakinan dan kepuasan mereka serta mendorong untuk kembali berkunjung ke negeri ini pada masa akan datang,” katanya.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Perkasa Hotel Holdings yang diketuai Pengerusinya, Datuk Flovia Ng bersama rombongan di pejabatnya di sini, kelmarin.
Dalam kunjungan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan operasi, pengurusan dan perancangan Perkasa Hotel Holdings, termasuk usaha meningkatkan keupayaan tenaga kerja menerusi latihan serta pembangunan kemahiran secara berterusan.
Beliau berharap usaha berkenaan dapat membantu melahirkan tenaga kerja yang kompeten, seterusnya meningkatkan mutu perkhidmatan serta menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan hospitaliti di Sabah.


































