Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor (kanan) ketika menyerahkan Jalur Gemilang kepada penduduk kampung.
SEMPORNA : Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 bukan sekadar membawa semangat patriotisme ke kawasan luar bandar, malah menjadi platform mendekati komuniti menerusi pengisian yang memenuhi keperluan komuniti setempat.
Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pulau Bum Bum, Nur Zarith Sofiah Jal berkata, pihaknya membawa dua perkhidmatan pada program berkenaan iaitu saringan kesihatan secara percuma dan hebahan NADI X Keusahawanan bagi menggalakkan komuniti menceburi bidang keusahawanan secara digital.
“Pemilihan perkhidmatan yang dibawa pada setiap lokasi dibuat berdasarkan kesesuaian dengan komuniti dan kelompok sasaran yang hadir.
“Kita tengok komuniti. Hari ini kita fokus komuniti yang dewasa, jadi kita rasa yang paling sesuai saringan kesihatan dengan NADI X Keusahawanan,” katanya ketika ditemui media semasa Program Jiwa@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) Peringkat Komuniti MADANI DUN Sulabayan Tahun 2026, di sini, pada Isnin.
Pendekatan turun padang seperti itu penting kerana tidak semua anggota komuniti mempunyai kesempatan untuk hadir ke pusat NADI bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.
“Tidak semua orang boleh datang pergi NADI. Mereka mempunyai kekangan masa untuk datang, jadi bila ada program begini, komuniti akan berkumpul dan NADI akan turun. Kami boleh war-warkan perkhidmatan di NADI.
“Program ini juga memudahkan kami menghebahkan NADI X Keusahawanan kepada komuniti serta mendapatkan peserta yang berminat untuk menjalankan perniagaan secara digital,” ujarnya.
Sementara itu, penduduk Kg. Balimbang, Pulau Bum-Bum, Rosnah Gauhali berkata, beliau hadir untuk menyertai program patriotik selain mendapatkan manfaat menerusi Jualan Rahmah yang diadakan di lokasi berkenaan.
“Saya seronok program seperti ini diadakan, sebab dapat menyemai semangat patriotik dalam diri. Jualan Rahmah yang diadakan di sini juga membolehkan saya membeli barangan dengan harga yang berpatutan,” katanya.
“Penganjuran program seumpama ini di kampung memudahkan saya mendapatkan barangan pada harga berpatutan tanpa perlu bersusah payah ke bandar.
“Saya berharap program ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang, termasuk penyediaan perkhidmatan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah.
Rosnah berkata, beliau juga berharap dapat mengibarkan Jalur Gemilang di rumah sebagai tanda menghayati sambutan kemerdekaan.
































