Suasana ketika Pertandingan Pidato Kenegaraan Program Jiwa Kelab Malaysiaku berlangsung.
KUNAK: Pertandingan Pidato Kenegaraan menerusi Program JIWA @ Kelab Malaysiaku pupuk semangat patriotisme dan cinta negara dalam kalangan pelajar dan generasi muda.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak, Selamat Yusuf berkata, pertandingan pidato itu menjadi wadah untuk memupuk semangat patriotisme, meningkatkan kesedaran kenegaraan serta membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar.
“Pertandingan pidato yang kita jayakan pada hari ini bukan sekadar sebuah pertandingan untuk menentukan siapa yang terbaik dalam menyampaikan hujah dan berpidato.
“Lebih daripada itu, program ini merupakan satu wadah untuk memupuk semangat patriotisme, meningkatkan kesedaran kenegaraan serta membina keyakinan diri dalam kalangan generasi muda.
“Penganjuran program berkenaan bersempena Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 memperlihatkan bahawa penghayatan kemerdekaan bukan sekadar pada simbol dan kemeriahan sambutan, tetapi turut diterapkan melalui keberanian generasi muda memahami, menghayati dan menyuarakan pandangan mengenai negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Pertandingan Pidato Kenegaraan Program Jiwa Kelab Malaysiaku, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, Kelab Malaysiaku turut memainkan peranan penting dalam menyemai kecintaan terhadap negara dengan memberi peluang kepada pelajar mengenali sejarah dan identiti negara, selain memahami kepentingan perpaduan, toleransi, keharmonian serta tanggungjawab sebagai warganegara.
“Melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan, para pelajar bukan sahaja mengenali sejarah dan identiti negara, malah dapat memahami kepentingan perpaduan, toleransi, keharmonian serta tanggungjawab sebagai warganegara.
“Generasi muda yang mempunyai semangat patriotik tinggi, merupakan aset penting kepada negara dan perlu terus dibentuk melalui program yang mampu mengukuhkan jati diri serta keyakinan mereka,” ujarnya.
Beliau berharap program seperti itu terus menjadi platform untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai jati diri yang kukuh, berkeyakinan, berwawasan dan sentiasa meletakkan kepentingan negara di hadapan.
































