PAITAN: Festival Mega Food Sabahan 12.0 yang berlangsung di Dewan KDCA Paitan bukan sekadar acara makanan dan jualan, malah menjadi platform menghimpunkan puluhan vendor dan peniaga dari pelbagai lokasi untuk menawarkan pelbagai produk kepada masyarakat.
Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi, Datuk James Ratib berkata, penganjuran festival itu memberi peluang kepada usahawan dan peniaga memasarkan produk mereka kepada lebih ramai pelanggan, selain merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan penganjuran.
Beliau yang juga ADUN Sugut berkata demikian ketika merasmikan Festival Mega Food Sabahan 12.0 di Dewan KDCA Paitan, di sini. Teks ucapan yang disampaikan Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang.
James berkata, Mega Food Sabahan mempunyai daya tarikan tersendiri kerana setiap siri jelajahnya menghimpunkan puluhan vendor dan peniaga yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman viral serta barangan jualan menerusi reruai yang disediakan.
“Ini bukan sahaja memberikan peluang kepada peniaga untuk memasarkan produk mereka, tetapi pada masa sama menyediakan satu bentuk hiburan dan aktiviti santai yang dapat dinikmati oleh masyarakat,” katanya.
Festival Mega Food Sabahan 12.0 di Paitan turut diserikan dengan kehadiran penyanyi terkenal, Lan Solo yang menghiburkan pengunjung sekali gus menambah kemeriahan acara berkenaan.
James berkata, pemilihan Dewan KDCA Paitan sebagai lokasi penganjuran memberikan peluang kepada rakyat di kawasan Paitan dan Sugut menikmati program berskala lebih besar yang menghimpunkan pelbagai vendor, jualan dan aktiviti hiburan dalam satu lokasi.
Katanya, penganjuran acara seperti itu penting bagi memastikan masyarakat di kawasan luar bandar turut mendapat akses kepada pelbagai program yang mampu merancakkan aktiviti sosial dan ekonomi.
“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong inisiatif yang mampu memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk program yang membuka ruang kepada usahawan dan peniaga untuk memperkenalkan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas.
“Dalam masa sama, masyarakat juga mendapat manfaat kerana dapat menikmati pelbagai pilihan makanan, minuman dan jualan dalam suasana yang meriah,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan teknologi digital turut membuka peluang lebih luas kepada peniaga untuk mengembangkan perniagaan masing-masing, khususnya menerusi penggunaan media sosial dan platform dalam talian.
Katanya, peniaga pada masa kini bukan sahaja bergantung kepada jualan secara fizikal, malah boleh menggunakan teknologi digital untuk membina jenama, menarik pelanggan dan memperluaskan pasaran.
“Ramai usahawan kini menggunakan media sosial sebagai medium untuk mempromosikan produk dan membina pelanggan. Ini menunjukkan teknologi mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan, khususnya kepada golongan muda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya terus menyokong peniaga dan usahawan yang mengambil bahagian dalam program seumpama itu sebagai satu bentuk sokongan kepada perkembangan sektor perniagaan dan ekonomi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, vendor, peniaga, penaja, sukarelawan serta semua pihak yang menjayakan Festival Mega Food Sabahan 12.0 di Paitan.
Menurutnya, sambutan dan penerimaan masyarakat terhadap festival berkenaan menunjukkan Mega Food Sabahan mempunyai potensi untuk terus berkembang sebagai acara yang dinanti-nantikan rakyat.
“Justeru, kita berharap Mega Food Sabahan dapat dijadikan acara tahunan yang terus membawa program sebegini ke pelbagai kawasan di Sabah.
“Kita mahu rakyat di setiap daerah berpeluang menikmati kemeriahan festival ini, manakala para vendor dan peniaga pula mendapat platform untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan,” katanya.
Beliau berharap Festival Mega Food Sabahan akan terus berkembang sebagai salah satu acara tahunan yang mampu menghimpunkan masyarakat, vendor dan peniaga dalam suasana yang meriah, selain menawarkan pengisian hiburan yang menarik kepada pengunjung.
Dengan gabungan jualan makanan, minuman, pelbagai reruai serta persembahan artis, Mega Food Sabahan berpotensi menjadi acara tahunan yang bukan sahaja dinanti-nantikan masyarakat, tetapi turut memberikan ruang kepada peniaga dan vendor untuk terus mengembangkan perniagaan.































