Hajiji bersama menteri, wakil rakyat dan Pegawai Daerah dalam sesi bergambar di ruang legar Hotel Perkasa, Keningau hari ini.
KENINGAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah sentiasa mengamalkan budaya kerja yang responsif, proaktif dan berteraskan integriti, di samping berani mengguna pakai pendekatan baharu.
“Kita mesti berani mengamalkan pendekatan baharu sekiranya ia dapat meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Namun, pada masa yang sama, setiap tindakan mesti dilaksanakan mengikut peraturan, tadbir urus yang baik serta kepentingan rakyat,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pegawai Daerah Sabah Ke-29 di Hotel Perkasa di sini hari ini.
Hajiji berkata, tema persidangan tahun ini, “Memacu Inovasi, Memperkasa Komuniti”, amat relevan dengan keperluan pentadbiran awam masa kini.
“Kita sedang berdepan perubahan yang berlaku pada kadar sangat pantas. Kemajuan teknologi, perubahan ekonomi global, perubahan sosial dan peningkatan jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan menghendaki kita sentiasa menambah baik cara kita bekerja.
“Pentadbiran kerajaan mesti lebih cekap, responsif dan berteraskan keperluan rakyat,” katanya.
Dalam konteks ini, Hajiji berkata, Pejabat Daerah merupakan antara institusi penting dalam jentera Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi.
“Pegawai Daerah memikul tanggungjawab besar untuk memastikan dasar, program dan projek kerajaan diterjemahkan kepada tindakan di lapangan.
“Peranan anda bukan sahaja menyelaras pembangunan daerah, malah menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri kini meneruskan agenda pembangunan Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0, yang dibina berasaskan asas pembangunan yang telah diwujudkan sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, kejayaan agenda pembangunan itu tidak bergantung semata-mata kepada perancangan di peringkat Kerajaan Negeri, tetapi turut bergantung kepada keupayaan keseluruhan jentera kerajaan untuk melaksanakannya.
Sekali lagi, katanya, Pegawai Daerah dan Pejabat Daerah mempunyai peranan yang amat penting dalam hal ini.
“Pejabat Daerah merupakan antara institusi kerajaan yang paling dekat dengan rakyat. Oleh itu, peranan anda dalam memastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat amat penting.
“Kita juga mesti melihat pembangunan negeri dari perspektif jangka panjang. Dalam tempoh lima tahun yang lalu, kita berdepan pelbagai cabaran, termasuk kesan pandemik dan ketidaktentuan ekonomi.
“Namun begitu, kita terus melaksanakan pembangunan dan memperkukuh asas ekonomi negeri. Apa yang telah dibina mesti diteruskan dan diperkukuh.
“Itulah sebabnya kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran amat penting. Pembangunan tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat. Ia memerlukan perancangan yang konsisten, dasar yang jelas serta jentera kerajaan yang berkeupayaan melaksanakan perancangan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji mahu keseluruhan jentera kerajaan, termasuk Pejabat Daerah, memahami hala tuju pembangunan negeri.
“Kita mempunyai perancangan. Kita mempunyai peruntukan. Kita telah mengenal pasti projek. Dan kita mempunyai jentera kerajaan di setiap peringkat.
“Apa yang diperlukan ialah penyelarasan, disiplin pelaksanaan dan komitmen bagi memastikan semua perancangan ini memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Pegawai Daerah turut diingatkan supaya memberi perhatian kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan tidak menunggu sehingga sesuatu masalah menjadi serius.
“Jika terdapat sesuatu isu, ambil tindakan awal. Jika memerlukan penyelarasan dengan agensi lain, lakukan segera. Jika terdapat potensi yang boleh dibangunkan, bantu memudahkannya.
“Pendekatan ini mesti menjadi sebahagian daripada budaya kerja dalam pentadbiran daerah,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan bahawa kelewatan projek tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa kerana setiap kelewatan memberi kesan kepada rakyat.
“Jika terdapat masalah dalam pelaksanaan, kita mesti bertindak awal. Jika terdapat isu penyelarasan, kita mesti duduk bersama dan mencari penyelesaian.
“Matlamat kita adalah memastikan setiap projek yang dirancang memberikan manfaat kepada rakyat dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.




























