KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 46 tahun maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di Jalan Tuaran, berhampiran Petronas Likas, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Shahrudin Mat Husain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.25 pagi pada 16 Ogos 2026.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki warga Indonesia berusia 46 tahun keluar dari jalan susur untuk membuat pusingan U tanpa menyedari kehadiran sebuah bas yang sedang bergerak lurus dari arah pusat bandaraya Kota Kinabalu menuju ke Inanam.
“Motokar tersebut kemudiannya dilanggar pada bahagian sisi kiri dan terseret kira-kira 15 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrudin berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar pihak bomba ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth II untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira jam 3.50 pagi.
Beliau berkata, pemandu bas, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedua-dua kenderaan telah ditahan bagi pemeriksaan lanjut dan pihak polis turut sedang mengesan saksi bebas serta waris mangsa.
“Mayat mangsa akan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I bagi tujuan bedah siasat selepas waris dikenal pasti,” katanya.
Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Royston Ubak di talian 016-3130153atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Polis Diraja Malaysia turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika keluar dari jalan susur, membuat pusingan U serta memastikan keadaan trafik selamat sebelum meneruskan perjalanan.




























