Jasnih Daya
KOTA KINABALU: Dakwaan peruntukan RM945,000 bagi penganjuran malam ulang tahun Yayasan Sabah (YS) yang tular di media sosial belum mendapat kelulusan pihak pengurusan.
Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Jasnih Daya berkata, setakat pengetahuannya, belum ada cadangan atau permohonan bajet bagi tujuan berkenaan dikemukakan kepada pihak pengurusan yang mempunyai kuasa meluluskan bajet.
“Pihak Jawatankuasa Penganjur boleh mencadang dan memohon, tetapi tidak semestinya diluluskan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Jasnih berkata, bagi permohonan peruntukan dalam jumlah yang tinggi, kebiasaannya ia akan diteliti semula dan jumlahnya boleh dikurangkan mengikut keperluan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan perbelanjaan dibuat secara berhemah serta mengelakkan pembaziran.
Beliau turut memberi jaminan bahawa YS mempunyai mekanisme bagi mengawal perbelanjaan berlebihan.
“Keutamaan kami ialah rakyat Sabah. Insya-Allah,” katanya.
Jasnih turut berterima kasih kepada MAWAR Channel yang disifatkannya sebagai memberikan peringatan berhubung isu berkenaan.
Hantaran itu dibuat susulan dakwaan pelbagai pihak di media sosial yang mempersoalkan kononnya sejumlah RM945,000 dibelanjakan bagi sambutan malam ulang tahun Yayasan Sabah.






























