James Ratib
BELURAN: Anak-anak di kawasan luar bandar mempunyai potensi sama hebat untuk menjadi saintis, jurutera, penyelidik dan inovator masa hadapan, kata Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.
Beliau berkata, apa yang diperlukan ialah peluang, pendedahan, bimbingan serta sokongan berterusan bagi membolehkan bakat dan potensi anak-anak luar bandar diketengahkan.
“Anak-anak di Beluran, di kawasan luar bandar dan di kawasan pedalaman juga mempunyai potensi yang besar. Mereka mempunyai bakat, kreativiti dan cita-cita. Apa yang mereka perlukan ialah peluang, pendedahan, bimbingan serta sokongan yang berterusan,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Program STEAMQuest Ignite 2026 Peringkat Zon Beluran sempena Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026 di Dewan Datuk James Ratib, Kampung Botition, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Tuan Justinus Jalang.

James berkata, STEAMQuest Ignite bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform pembelajaran yang memberi peluang kepada murid meneroka idea baharu, melakukan eksperimen, menyelesaikan masalah sebenar serta mengaplikasikan ilmu secara praktikal.
Menurutnya, pendidikan STEAM yang merangkumi Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik amat penting dalam membentuk generasi yang mampu berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif, selain mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah serta bekerja secara berpasukan.
“Dalam era yang menyaksikan perkembangan sains dan teknologi berlaku dengan begitu pantas, kita tidak boleh hanya menyediakan generasi muda untuk dunia hari ini. Kita perlu menyediakan mereka untuk dunia yang bakal mereka hadapi pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan, automasi, robotik, teknologi digital dan analitik data kini semakin mempengaruhi kehidupan, sekali gus memerlukan generasi muda yang bukan sahaja mampu menggunakan teknologi, tetapi turut berupaya mencipta dan membangunkan penyelesaian baharu.
Katanya, usaha memperkasakan pendidikan sains, teknologi dan inovasi tidak seharusnya tertumpu kepada bandar utama sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan ke daerah dan kawasan luar bandar di seluruh Sabah.
Menurutnya, pelaksanaan STEAMQuest Ignite di Zon Beluran membuktikan agenda memperkasa pendidikan sains dan teknologi sedang dibawa lebih dekat kepada sekolah dan komuniti.
“Kita mahu memastikan tiada anak Sabah yang tercicir daripada peluang untuk mendapatkan pendidikan berkualiti serta pendedahan kepada perkembangan sains, teknologi dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata, program seperti STEAMQuest Ignite juga sebahagian daripada usaha membina ekosistem pendidikan yang mampu mencungkil dan membangunkan bakat muda Sabah.
Katanya, tidak mustahil peserta yang terlibat dalam program itu hari ini akan menjadi saintis, jurutera, penyelidik, pencipta atau usahawan teknologi yang mengharumkan nama Beluran dan Sabah di peringkat kebangsaan serta antarabangsa pada masa hadapan.
Dalam pada itu, James turut memberikan penghargaan kepada guru yang memainkan peranan penting dalam membimbing dan mencungkil potensi murid.
Beliau berkata, guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut berperanan sebagai pembimbing, pencetus inspirasi dan pencungkil bakat generasi masa hadapan.
Beliau menggesa guru supaya terus memberikan ruang kepada murid untuk bertanya, mencuba, bereksperimen dan berfikir di luar kebiasaan.
Kepada peserta, beliau mengingatkan supaya tidak takut mencuba sesuatu yang baharu atau menganggap kegagalan sebagai pengakhiran.
“Dalam dunia sains dan inovasi, kegagalan merupakan sebahagian daripada proses untuk kita memahami sesuatu, memperbaiki kelemahan dan menghasilkan penyelesaian yang lebih baik,” katanya.
James turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara institusi pendidikan, kerajaan dan komuniti dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang kukuh.
Beliau menghargai peranan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui U-Science dalam membawa ilmu, kepakaran dan pengalaman akademik lebih dekat kepada sekolah dan komuniti.
Menurutnya, kerjasama itu perlu terus diperkukuhkan supaya institusi pengajian tinggi bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik, tetapi turut berperanan sebagai rakan strategik dalam pembangunan bakat dan inovasi di Sabah.
Beliau berkata, Borneo Festival of Ideas (BFOI) pula menyediakan platform penting untuk idea, kreativiti dan inovasi diketengahkan kepada masyarakat lebih luas.
“Saya berharap lebih ramai murid dan anak muda Sabah akan berani mengetengahkan idea mereka, berkongsi hasil ciptaan serta melihat inovasi sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berharap Program STEAMQuest Ignite 2026 menjadi permulaan kepada lebih banyak program pendidikan STEAM di Beluran dan seluruh Sabah, selain membuka laluan kepada murid untuk berkembang daripada peringkat zon dan daerah ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pustakawan UMS yang mewakili Naib Canselor UMS, Zawawi Tiyunin; Pegawai Pendidikan Daerah Beluran, Dr. Nancy Ng Yut Kuan; Pengarah U-Science UMS, Md. Sazali Md. Salleh; serta para pengetua, guru, murid, ibu bapa dan jemputan.






























