PUTATAN: Kempen mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah mampu memupuk semangat cintakan negara, menyemarakkan patriotisme serta mengukuhkan perpaduan rakyat, kata Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Beliau berkata, bersempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Hari Sabah pada Ogos, program yang menyemarakkan semangat patriotik perlu dipergiatkan bagi menanam kecintaan terhadap negara dan negeri dari peringkat akar umbi.
Katanya, usaha itu juga dapat menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan rakyat untuk menghayati nilai kemerdekaan yang dikecapi negara dan Sabah.
“Sudah tentu, kempen mengibar bendera ini penting dalam usaha kita meningkatkan nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat.
“Dengan kukuhnya perpaduan, rasa cintakan negara dapat membangkitkan semangat semua pihak untuk bersatu padu memajukan negara dan negeri kita.
“Malah, bersempena bulan sambutan sebegini, nilai-nilai tersebut secara tidak langsung turut menyemarakkan jati diri masing-masing,” katanya selepas merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Peringkat Komuniti MADANI Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan (LPPB) Sabah yang juga ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Shah Awang Sahari, Pengerusi Perkasa Trading Sdn. Bhd. yang juga ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya dan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd. Noor.
Terdahulu, Shahelmey turut menyertai aktiviti penjelajahan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) membabitkan 25 kenderaan dengan penyertaan 63 anggota daripada pelbagai agensi.
Konvoi bermula dari Dewan Sri Putatan sebelum bergerak ke Balai Polis Putatan, Kampung Sri Pandan, SK Kampung Contoh, Balai Raya Kampung Muhibbah, SMK Petagas, Balai Bomba Putatan, SMK Tansau dan Balai Raya Kampung Meruntum.































