PUTRAJAYA: Sarawak menjadi negeri paling terjejas akibat jerebu apabila lapan stesen pemantauan kualiti udara mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap ‘Tidak Sihat’, manakala IPD Serian merekodkan tahap ‘Sangat Tidak Sihat’ setakat 3 petang, hari ini.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kemyataan hari ini memaklumkan, daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara, 11 stesen mencatat bacaan IPU ‘Tidak Sihat’.
Di Sarawak, bacaan berkenaan direkodkan di Miri (152), Samalaju (120), Bintulu (154), Sibu (135), Sarikei (161), Sri Aman (158), Samarahan (177) dan Kuching (177).
IPD Serian pula mencatat bacaan IPU 204, iaitu pada tahap ‘Sangat Tidak Sihat’.
Di Semenanjung Malaysia, bacaan ‘Tidak Sihat’ direkodkan di Cheras, Kuala Lumpur (122), Putrajaya (121) dan Shah Alam, Selangor (112).
Tiada stesen di Sabah dilaporkan mencatat bacaan pada tahap ‘Tidak Sihat’ atau ‘Sangat Tidak Sihat’ setakat 3 petang.
NRES berkata, negara sedang berhadapan situasi jerebu sejak 8 Ogos susulan fenomena El Niño yang berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya.
“Fenomena El Niño yang berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya pada masa ini menyebabkan beberapa kawasan khususnya di selatan Semenanjung Malaysia dan bahagian barat dan selatan Sarawak menerima taburan hujan yang lebih rendah daripada purata.
“Kombinasi taburan hujan yang lebih rendah dan suhu yang lebih tinggi berpotensi meningkatkan risiko kekurangan sumber air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu khususnya di kawasan yang mengalami keadaan kering untuk tempoh yang panjang,” katanya.
Menurut NRES, kemerosotan kualiti udara di Sarawak disebabkan jerebu merentas sempadan dan kebakaran tempatan di Tapak Pelupusan Sampah di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sibu (SMC), dengan anggaran keluasan 1.5 hektar.
Kebakaran hutan dan belukar di Sri Aman turut berlaku dengan anggaran keluasan 100 hektar.
“Operasi pemadaman masih giat dijalankan di kedua-dua lokasi,” katanya.
Berdasarkan Peta Jerebu Serantau dan maklumat ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 12 Ogos, keadaan kering berlaku di selatan rantau ASEAN pagi ini kecuali beberapa kawasan di bahagian utara Sumatera yang mengalami hujan.
Titik panas terpencil dikesan di bahagian tengah dan selatan Sumatera serta bahagian selatan dan timur Kalimantan.
Beberapa titik panas turut dikesan di Semenanjung Malaysia, Sarawak, Pulau Jawa dan Sulawesi.
Kepulan asap sederhana diperhatikan di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, manakala kepulan asap ringan diperhatikan di bahagian selatan Sumatera.
Berdasarkan pemantauan satelit NOAA-20 pada 11 Ogos, sebanyak 12 titik panas dikesan di Malaysia, membabitkan satu di Pahang dan 11 di Sarawak.
Sebanyak 60 titik panas dikesan di Sumatera dan 354 di Kalimantan.
NRES berkata cuaca kering dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di selatan rantau ASEAN kecuali bahagian utara Semenanjung Malaysia dan Sumatera yang diramalkan mengalami hujan.
“Keadaan kering yang berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan kejadian titik panas dan jerebu, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan,” katanya.
Di peringkat ASEAN, Tahap Amaran 2 telah diaktifkan pada 3 Ogos.
Negara-negara di selatan rantau ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Timor Leste perlu mengemukakan Pelaporan Harian dan Tindak Balas Kecemasan bagi kejadian kebakaran, jerebu dan tindakan yang telah diambil.
NRES bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan terus memantau dan melaporkan perkembangan terkini cuaca, kualiti udara serta situasi jerebu yang melanda negara dari semasa ke semasa.
“Semua Kementerian, Jabatan dan Agensi berkaitan juga akan melaksanakan tindakan yang digariskan berdasarkan Tahap Amaran di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK),” katanya.
Orang awam di kawasan terjejas akibat cuaca panas, kering dan jerebu dinasihatkan mengurangkan aktiviti di luar bangunan, memakai pelitup muka dan minum air secukupnya bagi mengekalkan hidrasi.
“Orang awam juga dilarang untuk melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelak situasi jerebu menjadi semakin buruk,” katanya.
Maklumat IPU rasmi boleh dirujuk melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) atau aplikasi MyJAS EQMS.
Maklumat cuaca rasmi pula boleh dirujuk melalui laman sesawang MET Malaysia atau aplikasi myCuaca.
































