KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 57 tahun ditemui maut di kawasan parkir Tower A, One Borneo, di sini, awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita berkenaan kira-kira jam 6 pagi.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama pasukan Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah unit kediaman di tingkat 12 bangunan berkenaan.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya.
Shahrudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan gambar serta video kejadian yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan privasi keluarga mangsa.

































