Jordan semasa berucap di majlis tersebut.
KOTA KINABALU: Hari Terbuka Kapal Penyelidikan Tan Kah Kee (Research Vessel Tan Kah Kee-RVTKK) menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh lagi penyelidikan marin, kerjasama saintifik dan pembangunan Ekonomi Biru.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Datuk James Ratib berkata, Sabah dikurniakan sumber marin yang kaya dengan lebih daripada 1,400 kilometer garis pantai.
“Lawatan kapal penyelidikan itu mencerminkan hubungan kerjasama yang semakin kukuh antara Malaysia dan China dalam bidang pendidikan, sains, teknologi dan penyelidikan marin.
“Melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya, Kerajaan Negeri komited untuk meletakkan Sabah sebagai hab Ekonomi Biru Malaysia menerusi pembangunan lautan yang mampan, inovasi dan penyelidikan saintifik.
“Hubungan ini membolehkan kita bertukar pengetahuan, melakukan penyelidikan bersama dan menjadikan peluang yang bermakna bagi para penyelidik, pendidik dan pelajar,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri KPSTI, Jordan Jude Ellron ketika berucap di Majlis Perasmian Hari Terbuka Kapal Penyelidikan Tan Kah Kee (RVTTKK) di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, Kapal Penyelidikan Tan Kah Kee dilengkapi dengan kemudahan penyelidikan moden yang menyokong kajian berkaitan biodiversiti marin, perikanan, perubahan iklim, oseanografi dan pemetaan dasar laut.
“Hasil penyelidikan tersebut akan menyumbang kepada pengurusan sumber marin Sabah yang lebih berkesan serta menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti,” ujarnya.
Di samping itu, beliau turut mengalu-alukan penyertaan pegawai Jabatan Perikanan Sabah bersama pensyarah dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam ekspedisi saintifik kapal tersebut.
“Ini merupakan peluang penting untuk memperkukuh kepakaran tempatan serta menggalakkan kerjasama penyelidikan antarabangsa pada masa hadapan.
“Penyertaan ini bukan sekadar memberikan peluang latihan, malah merupakan satu pelaburan strategik dalam membangunkan bakat saintifik di Sabah, memperkukuh kapasiti institusi, serta mendedahkan para pelajar kepada piawaian antarabangsa dalam penyelidikan saintifik marin,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa salah satu tujuan kolaborasi ini adalah untuk meningkatkan pelancongan di Sabah.
“Jika mereka kembali ke China, mereka akan menyampaikan kelebihan dan keunikan budaya di negeri ini kepada warga di sana yang akhirnya, Sabah akan mendapat manfaat secara tidak langsung melalui peningkatan sektor pelancongan,” tambahnya lagi.
James turut menggalakkan para pelajar untuk mengunjungi kapal penyelidikan tersebut pada tujuh dan lapan Ogos di Pelabuhan Kota Kinabalu dengan harapan lebih ramai anak Sabah akan memilih kerjaya dalam bidang sains, teknologi dan penyelidikan.
Hadir sama, Presiden Xiamen University Malaysia, Prof. Dr. Wang Rui Fang, Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Zhu Xinglong, Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Jamili Nais, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr. Ahemad Sade, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim dan Ketua Pegawai Operasi SSMJ, Datuk Ramlee Kariah.


































