Ruslan menyertai aktiviti memukat udang di kolam ternakan udang Kampung Bintuka.
BEAUFORT: Cadangan menaik taraf bekalan elektrik bernilai hampir RM1 juta dijangka memberi nafas baharu kepada industri ternakan udang di Kampung Bintuka.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, hasil perbincangan dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) daerah Beaufort mendapati sebuah transformer baharu diperlukan bagi menampung keperluan bekalan elektrik kepada kira-kira 100 hingga 150 kolam ternakan udang.
“Kita akan berusaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri selain meneliti penggunaan dana kementerian bagi merealisasikan pemasangan transformer ini demi membantu pengusaha ternakan udang di Kampung Bintuka.
“Apabila bekalan elektrik lebih stabil, kos pengeluaran dapat dikurangkan dan pengusaha mampu menawarkan harga jualan yang lebih kompetitif kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program pelepasan 400,000 benih udang sumbangan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) bernilai RM10,000 di kolam ternakan udang Kampung Bintuka, pada Khamis.
Menurut beliau, masalah bekalan elektrik yang tidak mencukupi menyebabkan kebanyakan pengusaha masih bergantung kepada generator diesel yang meningkatkan kos pengeluaran.
Selain itu, Ruslan memaklumkan kementerian turut merancang menyediakan kemudahan penyimpanan sejuk beku yang membolehkan lebihan hasil ternakan disimpan sebelum dipasarkan.
“Kemudahan ini dapat mengekalkan kesegaran dan kualiti udang di samping memberi ruang kepada pengusaha menjalankan aktiviti pembungkusan bagi meningkatkan nilai tambah produk.
Menurut Ruslan, ketika ini terdapat antara enam hingga lapan pengusaha ternakan udang di Kampung Bintuka dengan sebahagian daripada mereka mengusahakan sehingga 10 kolam dan menjana pendapatan melebihi RM2 juta setahun daripada hasil jualan.
“Hasrat kita untuk menjadikan Beaufort sebagai hab pengeluaran udang di Sabah. Dengan infrastruktur yang lebih baik serta sokongan kerajaan lebih ramai usahawan mampu menceburi industri ini sekali gus memperkukuh sekuriti makanan dan merancakkan ekonomi luar bandar,” jelasnya.
Beliau yakin industri ternakan udang di Beaufort mempunyai prospek cerah berikutan daerah itu memiliki kawasan bakau yang luas, sumber air yang bersih serta kedudukan strategik berhampiran Brunei, Labuan, Sarawak, Keningau dan Kota Kinabalu.


































