RANAU: Pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat diseru memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu menyelesaikan isu dokumentasi anak-anak serta penduduk yang masih belum mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Kapitan merupakan individu yang paling hampir dengan masyarakat serta mengetahui latar belakang dan sejarah keluarga penduduk setempat.
“Kerjasama mereka amat penting bagi membantu menyalurkan maklumat yang tepat, sahih dan lengkap kepada pihak berkuasa, khususnya membabitkan kes dokumentasi yang memerlukan pengesahan mengenai latar belakang individu serta keluarga,” katanya ketika merasmikan Program Mahkamah Bergerak Daerah Ranau di SKTibabar, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Dr. Joachim yang juga ADUN Kundasang berharap Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah Ranau memberi penekanan kepada semua Ketua-Ketua Adat supaya memainkan peranan lebih aktif dalam mengenal pasti dan membantu menyelesaikan isu dokumentasi di komuniti masing-masing.
“Jika kamu benar-benar mengenali penduduk berkenaan dan keluarganya di kampung itu, bantulah mereka dalam urusan mendapatkan dokumen yang sah.
“Namun, sekiranya individu berkenaan tidak dikenali dan kamu tidak mengetahui latar belakangnya, nyatakanlah dengan jujur bahawa kamu tidak mengenali mereka. Jangan sesekali memberikan pengesahan terhadap perkara yang kita sendiri tidak pasti,” tegasnya.
Dr. Joachim berkata, pengesahan daripada pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat memainkan peranan penting dalam membantu pihak berkuasa memperoleh maklumat yang tepat sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau turut menggesa Ketua-Ketua Adat mengenal pasti kes-kes dokumentasi yang masih belum diselesaikan di kampung masing-masing agar masalah itu tidak terus berlarutan sehingga diwarisi oleh anak-anak dan generasi seterusnya.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan setiap permohonan dapat dipertimbangkan secara adil, telus dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.
Menurut Dr. Joachim, antara faktor yang menyebabkan masih terdapat penduduk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap termasuk pendaftaran kelahiran lewat, perkahwinan campur antara penduduk tempatan dengan warga asing, ketiadaan dokumen pendaftaran perkahwinan serta kelewatan membuat kad pengenalan.
Katanya, isu itu bukan sahaja menjejaskan individu terbabit, malah boleh memberi kesan berpanjangan kepada anak-anak dan generasi seterusnya sekiranya tidak ditangani segera.
Beliau berkata, ketiadaan dokumen yang sah boleh menyebabkan anak-anak berdepan kesukaran mendapatkan akses pendidikan, melanjutkan pelajaran, memperoleh pekerjaan yang baik serta menikmati pelbagai bantuan dan kemudahan kerajaan.
Justeru, katanya, Program Mahkamah Bergerak amat signifikan dalam membantu menyelesaikan kes-kes dokumentasi yang telah berlarutan sejak sekian lama, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
“Program ini membawa perkhidmatan terus kepada rakyat dan memastikan setiap kes yang layak diberikan perhatian serta diproses mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Pada masa sama, Dr. Joachim menepis dakwaan bahawa Program Mahkamah Bergerak diwujudkan bagi memudahkan warga asing atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mendapatkan dokumen pengenalan diri atau kad pengenalan tanpa melalui proses yang sah.
Beliau menegaskan dakwaan itu tidak benar kerana setiap permohonan perlu melalui proses semakan, penelitian dan pengesahan yang ketat oleh agensi berkaitan.
“Tiada kelulusan diberikan secara sewenang-wenangnya tanpa bukti, dokumen sokongan dan pengesahan yang mencukupi.
“Program ini bukan bertujuan melonggarkan syarat, tetapi membantu menyelesaikan kes-kes dokumentasi yang tulen dan layak mengikut peruntukan undang-undang negara,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah, khabar angin atau maklumat tidak sahih mengenai pelaksanaan Program Mahkamah Bergerak, sebaliknya memberikan kerjasama kepada kerajaan, mahkamah dan agensi berkaitan bagi memastikan isu dokumentasi rakyat dapat diselesaikan secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang.
Menurutnya, program berkenaan juga perlu dijadikan kempen kesedaran mengenai kepentingan menguruskan dokumen penting termasuk pendaftaran kelahiran dan pengemaskinian maklumat sejak awal bagi mengelakkan masalah menjadi lebih rumit pada masa hadapan.
Dr. Joachim turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Program Mahkamah Bergerak Siri Keempat di Daerah Ranau, termasuk agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan Ketua-Ketua Adat.


































