Julita (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah satu gerai pameran yang mengambil bahagian.
TENOM: Usaha meningkatkan amalan penyusuan susu ibu di Sabah perlu beralih daripada sekadar menggalakkan ibu berbuat demikian kepada membina sistem sokongan yang benar-benar membantu mereka meneruskannya.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, walaupun kesedaran mengenai kepentingan penyusuan susu ibu semakin meningkat, masih ramai ibu berdepan cabaran termasuk tuntutan pekerjaan, tanggungjawab keluarga dan kekurangan sokongan.
“Cabaran kita bukan sekadar menggalakkan ibu menyusukan anak, tetapi memastikan setiap ibu, tanpa mengira latar belakang atau tempat tinggal, mendapat sokongan yang diperlukan,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Sabah dan Konvensyen Ahli Kumpulan Sokongan Susu Ibu (AKSSI) Negeri Sabah Tahun 2026 di sini kelmarin.
Julita berkata, penyusuan susu ibu bukan sekadar isu pemakanan, malah memberi permulaan terbaik kepada bayi melalui nutrisi yang lengkap serta menyokong kesihatan kanak-kanak, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan, kesejahteraan keluarga dan masa depan Sabah.
“Pembangunan negeri bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal atau ekonomi, tetapi juga melalui kualiti generasi yang kita bentuk sejak hari pertama kehidupan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan penyusuan susu ibu memerlukan komitmen bersama daripada keluarga, majikan, komuniti, petugas kesihatan dan kerajaan.
“Pemerkasaan sebenar berlaku apabila wanita diberikan masa, ruang, perlindungan dan sokongan untuk membuat pilihan terbaik demi dirinya dan anaknya,” katanya.
Beliau berharap setiap bayi yang dilahirkan di Sabah mempunyai peluang yang sama untuk mendapat permulaan kehidupan yang terbaik menerusi sistem sokongan yang kukuh kepada setiap ibu.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. William Gotulis; Penolong Pegawai Daerah Tenom, Dr. Zulasri Pitting; Timbalan Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintenden Samsualan Sam; dan Pengerusi AKSSI, Aidah John.


































