Mandela (enam dari kanan) menerima borang penyertaan keahlian Gagasan Rakyat daripada James dan beberapa pemimpin daripada Penampang.
PENAMPANG: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk James Ligunjang bersama beberapa tokoh politik dan profesional dari kawasan Parlimen Penampang secara rasmi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), hari ini.
Turut menyertai parti itu ialah Datuk Edmund Doudilim, Dr. Tan Jun Kwang, Wilson Chang, Datuk Aloysius Mobijin, Frederick Francis Fung, Anwar Syed Shariff Abdullah, TS Gary Chang dan Albert Doudilim.
Borang permohonan keahlian mereka diserahkan kepada Pengerusi Gagasan Rakyat Bahagian Moyog, Datuk Mandela Malakun dalam satu majlis ringkas di ITCC Penampang, yang turut disaksikan Pengerusi Gagasan Rakyat Bahagian Kepayan, Datuk Steven Jimbangan.
James berkata, keputusan menyertai Gagasan Rakyat merupakan satu langkah untuk memperkukuhkan lagi perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah disokongnya sejak penubuhan gabungan itu.
Menurutnya, walaupun selama ini beliau tidak menganggotai mana-mana parti komponen GRS, keyakinan terhadap hala tuju kepimpinan Kerajaan Negeri mendorong beliau dan rakan-rakan memilih Gagasan Rakyat sebagai wadah perjuangan.
“Kami menyertai Gagasan Rakyat untuk membantu mengukuhkan kekuatan akar umbi parti dan memperkasakan GRS demi memastikan kepentingan rakyat Sabah terus terbela,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berjaya membawa pelbagai pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh negeri.
Katanya, pencapaian Kerajaan Negeri pada hari ini membuktikan kepimpinan sedia ada berada di landasan tepat dan wajar terus diberikan sokongan.
Kemasukan James bersama beberapa tokoh berpengalaman itu dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan Gagasan Rakyat di kawasan Parlimen Penampang serta memperluaskan pengaruh parti menjelang perkembangan politik negeri akan datang.


































