Hajiji (duduk, tengah) dan Saifuddin bergambar bersama ahli-ahli Jawatankuasa Bersama Zon ESS sebelum mesyuarat di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu perkembangan positif aspek keselamatan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESS Zone) disampaikan dengan lebih berkesan kepada perwakilan asing, termasuk kedutaan dan suruhanjaya tinggi di Malaysia.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi membolehkan mereka menilai semula dan seterusnya mempertimbangkan untuk menurunkan tahap nasihat perjalanan ke Pantai Timur Sabah berdasarkan perkembangan positif yang dicapai, khususnya apabila tiada kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan di kawasan itu sejak Januari 2020.
“Ini akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa dan menggalakkan lebih ramai pelawat datang ke Sabah, khususnya untuk menikmati pelbagai destinasi pelancongan menarik di sepanjang pantai timur negeri ini,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Zon ESS di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Hajiji dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hajiji berkata, secara keseluruhannya keadaan keselamatan di Zon ESS adalah baik dan kekal terkawal.
“Saya baru-baru ini melawat enam pulau di perairan Sabah bagi meninjau pos-pos keselamatan serta menilai tahap kesiapsiagaan operasi anggota keselamatan di lapangan,” katanya.
Beliau menyifatkan ketiadaan sebarang kes penculikan untuk wang tebusan sepanjang enam tahun lalu sebagai satu pencapaian besar hasil usaha Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta semua agensi keselamatan yang terlibat.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ESSCOM, PDRM, ATM, APMM dan semua agensi keselamatan atas komitmen serta pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan perairan dan daratan Pantai Timur Sabah terus terpelihara,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri serta semua agensi berkaitan bagi memperkukuh keupayaan operasi, meningkatkan aset dan tahap kesiapsiagaan, di samping menambah baik kebajikan anggota keselamatan.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman.


































