PENAMPANG: Polis sedang giat mengesan individu yang bertanggungjawab susulan penemuan mayat seorang bayi yang dipercayai tidak cukup sifat di Kampung Goliga Kolopis, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi itu kira-kira jam 11.52 pagi.
Beliau berkata, sepasukan pegawai polis dari IPD Penampang segera bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati mayat bayi yang dipercayai tidak cukup sifat tersebut ditemui di kawasan berhampiran rumah pengadu.
“Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah serta Unit K-9 PDRM turut digerakkan ke lokasi bagi membantu siasatan dan pemeriksaan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sammy, mayat bayi itu telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan jalan membuang mayat secara sulit, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Polis sedang giat mengesan individu yang bertanggungjawab serta menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan,” katanya.
Sehubungan itu, Sammy meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-6365734 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih di media sosial sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
































