Hajiji (tengah) melakukan simbolik perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut di WSG Kinarut Show Gallery, hari ini.
PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan keselamatan pengguna di Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar yang semakin pesat membangun.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur jalan raya di Sabah.
Beliau berkata, Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar kini muncul sebagai antara kawasan yang berkembang pesat dengan pertambahan kawasan perumahan, premis kerajaan, sekolah serta produk pelancongan.
Menurutnya, perkembangan itu menyebabkan peningkatan jumlah trafik sehingga mengakibatkan kesesakan, terutama pada waktu puncak, sekali gus menjadi antara keluhan utama pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
“Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut di WSG Kinarut Show Gallery, hari ini.

Hajiji berkata, projek sepanjang 1.3 kilometer itu melibatkan penaiktarafan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala, manakala kelulusan projek tersebut membuktikan suara dan keperluan mobiliti rakyat Sabah sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.
Katanya, skop projek itu bukan sekadar melibatkan pelebaran jalan, malah turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan pengguna.
“Antara kemudahan yang disediakan ialah pembinaan jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas serta perlindungan motosikal yang akan memberi manfaat kepada murid, pejalan kaki dan pengguna jalan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama penuh dalam urusan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berkata, semua jabatan dan agensi utiliti yang terbabit perlu bertindak pantas menyelesaikan sebarang isu teknikal supaya projek itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kita tidak mahu kerenah birokrasi menjadi penghalang kepada pelaksanaan projek yang amat penting ini. Kerjasama erat antara agensi Persekutuan dan negeri perlu diperkukuhkan bagi memastikan kejayaannya,” katanya.
Hajiji berkata, pembangunan infrastruktur jalan raya yang cekap dan selamat menjadi tunjang kepada pertumbuhan sosioekonomi, selain mampu merangsang pelaburan serta sektor pelancongan.
Beliau yakin projek itu akan mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kesalinghubungan serta merancakkan aktiviti ekonomi di daerah Papar selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, Papar kini menunjukkan perubahan ketara hasil pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan komersial, malah berpotensi menjadi lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya kelak.
Pada masa sama, Hajiji turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Ke-2 serta Projek Kerja Kecemasan Penambakan Batu dan Tanah di Sepanjang Tabing Sungai Intake Kogopon, termasuk kerja-kerja perlindungan tebing sungai yang dipohon Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, demi kemudahan dan kepentingan rakyat Papar.
































