Gwen Mia
KOTA KINABALU: Gwen Mia yang sebelum ini dilaporkan hilang telah ditemui dalam keadaan selamat.
Seorang ahli keluarga, Glenda Hew berkata, Gwen Mia kini berada di balai polis bagi membolehkan segala keterangan yang diperlukan diambil dan keadaan kini berada dalam keadaan terkawal.
“Kami lega untuk berkongsi bahawa Gwen Mia telah ditemui dan berada dalam keadaan selamat. Dia kini berada di balai polis, di mana keterangan yang diperlukan sedang diambil, dan keadaan kini terkawal,” katanya dalam satu ciapan di media sosial.
Beliau, bagi pihak keluarga, turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu sepanjang usaha mengesan Gwen Mia, termasuk mereka yang berkongsi hebahan di media sosial, menyemak rakaman kamera papan pemuka (dashcam), menyalurkan maklumat, menghulurkan bantuan serta mendoakan keselamatannya.
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang berkongsi hantaran, menyemak rakaman dashcam, memberikan maklumat, menawarkan bantuan dan mendoakan Gwen Mia.
“Sokongan, keprihatinan dan usaha bersama daripada masyarakat amat menyentuh hati. Kuasa tular di media sosial serta kesediaan semua untuk membantu benar-benar membawa perubahan besar,” katanya.
Menurutnya, keluarga amat bersyukur atas segala bantuan yang diterima dan bersyukur kerana Gwen Mia kini selamat.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis, pihak sekolah, media, rakan-rakan, ahli keluarga dan semua individu yang memainkan peranan sehingga kes berkenaan berakhir dengan selamat.
































