Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Air Sabah sedang mempergiat usaha memulihkan bekalan air di Tawau selepas kejadian banjir menjejaskan operasi beberapa Loji Rawatan Air (LRA), menyebabkan gangguan bekalan kepada kira-kira 5,578 akaun pengguna.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, Jabatan Air Sabah memahami kesulitan yang dihadapi pengguna dan sedang melaksanakan pelbagai tindakan bagi memastikan bekalan air dapat dipulihkan secepat mungkin.
Beliau berkata, kejadian banjir itu menjejaskan operasi LRA Apas Balung 1 dan 2, LRA Utara serta LRA Cinta Mata.
“Susulan banjir, LRA Apas Balung 1 dan 2 terpaksa dihentikan sementara selepas kawasan loji ditenggelami air sepenuhnya, sekali gus menyebabkan kerosakan kepada kemudahan serta komponen utama mekanikal dan elektrikal (M&E),” katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Joachim berkata, pasukan operasi dan teknikal Jabatan Air Bahagian Tawau kini sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh, kerja-kerja pembersihan loji serta pembaikan komponen yang terjejas bagi membolehkan LRA Apas Balung 1 dan 2 beroperasi semula dengan selamat.
Beliau berkata, LRA Utara dan LRA Cinta Mata bagaimanapun telah kembali beroperasi, manakala pengeluaran air terawat sedang dipertingkatkan secara berperingkat bagi membantu menstabilkan bekalan kepada pengguna.
“Bagi mengurangkan impak gangguan bekalan air, Jabatan Air Bahagian Tawau turut mengaktifkan pelan mitigasi sementara termasuk penghantaran bekalan menggunakan lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas.
“Jabatan Air Sabah memberi jaminan bahawa segala usaha sedang dipergiatkan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan memastikan sistem bekalan air dapat distabilkan dengan kadar segera,” katanya.
Mengenai penyelesaian jangka panjang, Dr. Joachim berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Air Sabah sedang melaksanakan Projek Skim Bekalan Air Fasa III melibatkan reka bentuk dan pembinaan Empangan Tawau yang dijangka siap pada Oktober tahun depan.
Menurutnya, projek itu dijangka mampu menyediakan sistem bekalan air yang lebih mampan di samping meningkatkan keupayaan kawalan banjir pada masa hadapan.
Beliau berkata, Jabatan Air Bahagian Tawau akan terus memantau situasi berkenaan secara berterusan melalui pihak pengurusan dan pasukan teknikal sehingga operasi semua loji dapat dipulihkan sepenuhnya.
“Jabatan Air Bahagian Tawau amat menghargai kesabaran, kerjasama dan kefahaman semua pengguna yang terjejas sepanjang tempoh pemulihan ini. Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi Jabatan,” katanya.


































