Ewon (tengah) menyampaikan sumbangan CIS sebanyak RM25,000 kepada Javadius.
KOTA BELUD: Penganjuran Kadamaian Adventure Race (KAR) Ultra setiap tahun terus memperkukuh kedudukan Kadamaian sebagai antara destinasi pelancongan utama di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, edisi ke-10 KAR Ultra 2026 berjaya menarik lebih 2,300 pelari tempatan dan antarabangsa dari Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Vietnam, China, Hong Kong, Jepun, India, Amerika Syarikat, Great Britain dan Romania, sekali gus meningkatkan lagi profil Kadamaian sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.
“Saya melihat peningkatan ketara mutu penganjuran KAR yang sudah tentunya dapat mempromosikan Kadamaian sebagai salah satu destinasi pelancongan di Sabah.
“Tahniah kepada Pengerusi Penganjur, Javadius Bollah serta barisan jawatankuasa, sukarelawan dan semua rakan strategik yang menjayakan penganjuran KAR dengan cemerlang,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah KAR Ultra 2026 di Kampung Tambatuon, Kadamaian, di sini, hari ini.

Ewon (tengah) menyampaikan sumbangan CIS sebanyak RM25,000 kepada Javadius.
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan dan ADUN Kadamaian berkata, selain menjadi platform pelancongan sukan, acara itu turut merancakkan ekonomi komuniti setempat termasuk pengusaha rumah penginapan, tapak perkhemahan, perkhidmatan pengangkutan dan peniaga.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan RM25,000 daripada Cement Industries Sabah (CIS) Sdn. Bhd., anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), bagi membantu menjayakan penganjuran KAR Ultra 2026.
“Saya menghargai sumbangan CIS dan berharap sektor korporat terus memberikan sokongan bagi memastikan acara seperti KAR dapat terus diperkasakan dan berkembang sebagai antara acara sukan pelancongan utama di Sabah,” katanya.
Perlumbaan yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 Julai itu menghimpunkan lebih 2,300 peserta dari dalam dan luar negara, merentasi laluan hutan, sungai dan kawasan berbukit di kaki Gunung Kinabalu di sekitar Kadamaian.
Edisi tahun ini turut memperkenalkan kategori baharu 100 Miles (100M), selain kategori 80 kilometer, 35 kilometer, 12 kilometer dan 6 kilometer.
Pelari Sabah menguasai sebahagian besar kategori utama, termasuk kategori baharu 100 Miles Lelaki Terbuka yang dimenangi Wilsen Singgin dengan catatan masa 27 jam 38 minit 2.7 saat, mengatasi Mellveen Darius (28:52:45.5) dan Azman Salama (29:24:54.6).
Kategori 100 Miles Wanita Terbuka pula dimenangi Nurul Emyra Fazira Isnariah Absi dengan catatan 34 jam 5 minit 3.6 saat, diikuti Siriporn Leumathong dari Thailand (36:28:39.0) dan Shamiera Auther (38:00:50.1).
Bagi kategori 80 Kilometer Lelaki Terbuka, Milton Amat muncul juara dengan masa 11 jam 38 minit 10.7 saat, diikuti Jude Maikol dan Willy Wilson Jafry, manakala kategori wanita dimenangi Hasnita Asis (14:42:04.0), diikuti Harlin Richard dan Amilisah Laisang.
Kategori 80 Kilometer Veteran menyaksikan Gustin Tiam muncul juara lelaki dengan masa 12 jam 23 minit 22.5 saat, manakala Kona Liau A Ken menjuarai kategori wanita dengan catatan 17 jam 7 minit 0.2 saat.
Dalam kategori 35 Kilometer Lelaki Terbuka, Daved Simpat menamatkan perlumbaan sebagai juara dengan masa 3 jam 58 minit 54.8 saat, mengatasi Donal Ronaldi dan Aznil Faez Ismail, manakala kategori wanita dimenangi Felecia Sounam dengan masa 6 jam 10 minit 24.1 saat, diikuti Stencie Kimus dan Stephanie Gelawit.
Ireneus Subil muncul juara kategori 35 Kilometer Lelaki Veteran dengan masa 4 jam 45 minit 10.6 saat, sementara Rose Gimbaloh menjuarai kategori wanita veteran dengan catatan 7 jam 22 minit 47.6 saat.
Bagi kategori 12 Kilometer Lelaki Terbuka, Adrian Petralanda muncul juara dengan masa 57 minit 12.9 saat, diikuti Vitus Daimi dan Syafiq Sapri, manakala Vierawatie Haris menjuarai kategori wanita dengan catatan 1 jam 20 minit 21.2 saat, mengatasi Sinaplin Sarawi dan Rusminah Jesman.
Larron Sambuling pula muncul juara kategori 12 Kilometer Lelaki Veteran dengan masa 1 jam 11 minit 40.6 saat, diikuti Druce Dahi dan Iswanday Tudin.
Dalam kategori 6 Kilometer Lelaki, Ethan Ezeqiel Medin muncul juara dengan masa 43 minit 8.3 saat, hanya 4.5 saat di hadapan Albert Andau, manakala Isaac Onieting Welson di tempat ketiga.
Kategori 6 Kilometer Wanita pula dimenangi Effymieaevi Kosai dengan catatan 53 minit 40.4 saat, diikuti Jessica Adriannie Vincent dan Anglelyna.
KAR Ultra 2026 terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara perlumbaan ultra denai paling berprestij di Malaysia, selain menjadi platform mempromosikan keindahan semula jadi Kadamaian dan daerah Kota Belud kepada komuniti larian antarabangsa.


































