Johari bersama kontinjen juara keseluruhan Tawau meraikan kemenangan selepas menamatkan kejohanan dengan cemerlang.
RANAU: Kerajaan Sabah akan terus memperkukuhkan pembangunan sukan menerusi penyediaan kemudahan latihan, bantuan kewangan, peralatan sukan serta pelbagai insentif bagi melahirkan lebih ramai atlet yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, komitmen itu selaras dengan usaha Kerajaan membangunkan modal insan berkualiti yang menjadi antara keutamaan pentadbiran negeri.
Beliau berkata, pembangunan belia dan sukan merupakan pelaburan penting untuk masa depan Sabah kerana sukan bukan sahaja melahirkan atlet cemerlang, malah membentuk generasi muda yang berdisiplin, berintegriti, berdaya saing serta mempunyai semangat kepimpinan dan jati diri yang tinggi.
“Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sukan melalui penganjuran kejohanan di pelbagai peringkat serta usaha berterusan mengenal pasti bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk dibimbing sehingga ke pentas tertinggi,” katanya ketika merasmikan penutupan Kejohanan Sukan Olahraga Peringkat Negeri Sabah Kali Ke-58 Tahun 2026 di Kompleks Sukan Ranau, kelmarin. Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin.
Masidi berkata, kejohanan itu bukan sekadar pertandingan tahunan, sebaliknya menjadi platform penting mencungkil atlet pelapis yang bakal mewakili Sabah ke Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukan Malaysia (SUKMA), sebelum melangkah ke pentas lebih tinggi termasuk Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik.
Beliau berkata, pengiktirafan terhadap lapan atlet Sabah sebagai Ikon Sukan Sabah baru-baru ini membuktikan sistem pembangunan atlet menerusi Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) dan MSSM berjaya melahirkan bakat yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.
Sehubungan itu, beliau berharap atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan terus berusaha kerana tidak mustahil mereka akan muncul sebagai ikon sukan negeri pada masa depan.
Masidi turut mengucapkan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau selaku penganjur, khususnya Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Barizah Abdul Kahar bersama seluruh jawatankuasa pelaksana dan semua pihak yang menjayakan penganjuran kejohanan itu.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada atlet yang berjaya serta mereka yang dipilih mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan dan mengingatkan agar peluang tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menunjukkan disiplin, komitmen serta semangat juang yang tinggi.
Pada masa sama, beliau menggalakkan atlet yang belum mencapai sasaran supaya tidak berputus asa kerana setiap cabaran merupakan pengalaman berharga dalam usaha mencapai kejayaan pada masa hadapan.
Dalam kejohanan itu, kontinjen Tawau muncul juara keseluruhan selepas meraih 21 pingat emas, 14 perak dan sembilan gangsa.
Kota Kinabalu muncul naib juara dengan kutipan 16 emas, 16 perak dan 13 gangsa, manakala Tambunan di tempat ketiga dengan sembilan emas, tujuh perak dan tiga gangsa.
Tuan rumah Ranau menamatkan saingan di tempat keempat dengan lapan emas, 10 perak dan 10 gangsa, diikuti Keningau, Kota Marudu, Lahad Datu dan Pensiangan.
Sebanyak 24 kontinjen dari seluruh daerah di Sabah mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan.
Turut hadir Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Muddin Beting, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Murid, Bunsu Gaga, serta tetamu lain.






























