Jafry Ariffin
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan komuniti (Community-Based Tourism, CBT) dan agro pelancongan di kawasan pedalaman seperti Keningau, Tenom dan Nabawan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, kementeriannya bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) komited melaksanakan pelbagai strategi bagi membangunkan produk pelancongan yang mampan dan berdaya saing di kawasan pedalaman.
Menurutnya, antara strategi utama yang dilaksanakan ialah mengenal pasti produk pelancongan berpotensi untuk dibangunkan melalui penambahbaikan kemudahan pelancongan, latihan pembangunan kapasiti kepada komuniti, pembangunan pakej pelancongan, pemasaran dan promosi, serta bimbingan ke arah pematuhan Standard Pelancongan ASEAN bagi meningkatkan daya saing produk pelancongan komuniti.
“Kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan yang bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelawat, malah memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat melalui peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan yang mampan,” katanya ketika menjawab pertanyaan ADUN Liawan, Datuk Nik Mohd. Nadzri Nik Zawawi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Jafry berkata, STB turut menyokong inisiatif Malaysian Chinese Tourism Association (MCTA) yang menganjurkan Program Lawatan Suai Kenal (Familiarisation Trip) ke daerah pedalaman termasuk Keningau dan Tenom pada tahun ini.
Katanya, program itu berjaya menghasilkan beberapa pakej pelancongan baharu berasaskan komuniti dan agro pelancongan yang kini dipromosikan di platform pelancongan utama seperti MATTA Fair serta International Travel Expo (ITE) Hong Kong bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke kawasan pedalaman Sabah.
Di Nabawan pula, beliau berkata, STB menyokong pelancaran Kabulongou Earth Initiative, iaitu produk pelancongan baharu yang menggabungkan konsep pelancongan lestari, agroforestri dan pemuliharaan hutan melalui kerjasama erat dengan komuniti setempat.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan kerjasama antara pengusaha pelancongan swasta dengan tiga komuniti tempatan bagi memulihkan kawasan hutan seluas kira-kira 1,000 ekar menerusi pendekatan agroforestri, silvikultur dan pelancongan lestari.
“Model pembangunan seperti ini bukan sahaja membantu memulihara alam sekitar, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat luar bandar melalui aktiviti pelancongan yang lebih mampan,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan profesionalisme industri pelancongan di kawasan pedalaman, STB turut menyokong Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau menganjurkan Bengkel Pengurusan Keselamatan dan Kecemasan yang dijadual berlangsung pada Ogos ini.
Jafry berkata, bengkel itu bertujuan meningkatkan kompetensi pengusaha pelancongan serta memperkukuh keyakinan pelancong terhadap produk dan destinasi pelancongan di kawasan pedalaman.
Beliau yakin pelaksanaan pelbagai inisiatif bersepadu itu akan terus memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan komuniti dan agro pelancongan di Keningau, Tenom serta Nabawan, sekali gus merancakkan ekonomi setempat dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
“Melalui pembangunan pelancongan yang inklusif dan lestari, kerajaan berharap komuniti tempatan bukan sahaja menjadi penerima manfaat, malah menjadi rakan strategik dalam memajukan industri pelancongan Sabah,” katanya.
































