Jamawi Jaafar
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkukuh sektor perikanan di daerah Papar menerusi pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemudahan serta keupayaan peralatan penangkapan ikan, termasuk penggunaan teknologi moden, bantuan peralatan, latihan dan naik taraf infrastruktur nelayan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perikanan Sabah telah melaksanakan beberapa langkah bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan nelayan.
“Antara usaha yang dilaksanakan ialah penggunaan peralatan penangkapan ikan yang lebih berkesan dan berkualiti tinggi bagi mengurangkan tangkapan sampingan, penggunaan enjin bot yang lebih cekap, menaik taraf bot nelayan dengan peralatan mekanisasi yang lebih baik serta penggunaan aplikasi teknologi moden untuk mengesan ikan dan sistem komunikasi yang lebih baik,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Jamawi berkata, Kerajaan turut menyediakan kemudahan pengendalian hasil tangkapan bagi mengekalkan kualiti ikan, meningkatkan kemahiran nelayan dalam penggunaan teknologi moden serta pengendalian bot dan enjin, selain menyediakan kawasan untuk mengumpul ikan.
Katanya, Kerajaan Negeri juga menyediakan beberapa insentif kepada nelayan menerusi Program Pengukuhan Pendapatan Nelayan Setempat yang menawarkan bantuan bagi mengganti atau menambah baik peralatan perikanan sedia ada termasuk bot perikanan yang lebih kukuh dan tahan lasak.
Menurutnya, melalui Inisiatif Ekonomi Biru Perikanan dan Pemerkasaan Produktiviti Hasil Tangkapan Ikan pula, nelayan dibantu menaik taraf mekanisasi peralatan seperti genset, peti penyejuk (refrigerator), pengesan ikan serta pembinaan tukun, payao dan unjam untuk mengumpul ikan.
“Selain itu, menerusi Program Transformasi Sosio-Ekonomi Nelayan B40, nelayan kategori B40 menerima insentif pakej lengkap kemudahan menangkap ikan merangkumi bot, peralatan, tong ikan dan jaket keselamatan, di samping menaik taraf jeti-jeti kecil nelayan termasuk bagi nelayan darat di kawasan sungai.
“Program Latihan Nelayan pula membantu meningkatkan kemahiran nelayan, khususnya dalam membaiki kerosakan enjin,” katanya.
Jamawi berkata, Ko-Nelayan turut menyediakan peralatan menangkap ikan seperti enjin 15 hingga 40 kuasa kuda (HP), perahu gentian kaca, pukat, tong ais dan peralatan teknologi moden menerusi kemudahan mikro kredit di bawah Program Peningkatan Pendapatan.
Beliau berkata, nelayan sepenuh masa boleh memohon menyertai Skim Bantuan Nelayan (i-Nelayan) melalui pejabat Ko-Nelayan Wilayah Pantai Barat di Papar.
“Penggunaan teknologi seperti aplikasi dan peranti satelit e-SMART juga diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan penangkapan ikan serta mengurangkan kos bahan api,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi berkata, Ko-Nelayan turut melaksanakan Program Bantuan Pembangunan Asas Perkampungan Nelayan (i-INFRA) bagi memudahkan pendaratan hasil perikanan, penyelenggaraan peralatan menangkap ikan serta penyediaan jeti tambatan bot.
“Program ini telah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM500,000 pada tahun 2026 bagi pembinaan baharu atau menaik taraf jeti perikanan di perkampungan nelayan di seluruh Sabah, termasuk di daerah Papar,” katanya.
































