KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan siasatan terperinci berhubung dakwaan salah laku membabitkan seorang pengarah hospital di negeri ini yang dikaitkan dengan serangan seksual dan buli di tempat kerja telah selesai dijalankan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, JKNS memaklumkan pihaknya mengambil maklum berhubung isu yang tular di media sosial mengenai dakwaan berkenaan dan memandang serius perkara itu.
Menurut kenyataan itu, siasatan telah dilaksanakan oleh jawatankuasa khas yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyiasat kes tersebut.
“Hasil siasatan berkenaan telah diperoleh dan syor-syor tindakan susulan sedang dilaksanakan mengikut prosedur serta perundangan semasa yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
JKNS turut menegaskan bahawa jabatan itu tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, khususnya perbuatan serangan seksual, gangguan dan buli di tempat kerja.
Menurutnya, perlakuan sedemikian bertentangan dengan nilai integriti serta etika perkhidmatan awam, di samping memberi kesan terhadap kesejahteraan fizikal dan mental warga kerja kesihatan.
JKNS berkata pihaknya kekal komited memastikan setiap warga kerja dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang selamat, saling menghormati dan kondusif.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan akan terus memperkukuhkan usaha memelihara integriti organisasi serta kebajikan warga kerjanya.
Dalam masa sama, JKNS menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan ruang diberikan kepada proses pentadbiran yang sedang dilaksanakan agar dapat disempurnakan secara teratur, adil dan selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa.
































