Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: ADUN Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengemukakan tiga cadangan bagi memperkukuh institusi Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Khamis.
Antara cadangan beliau ialah pewujudan Pusat Pentadbiran Kampung secara berperingkat di seluruh Sabah, pelaksanaan Program Pensijilan Kompetensi berasaskan standard antarabangsa ISO/IEC 17024 serta penglibatan masyarakat setempat dalam proses pelantikan Ketua Kampung.
Madius berkata, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan pewujudan Pusat Pentadbiran Kampung bagi memperkukuh sistem pentadbiran di peringkat akar umbi memandangkan Ketua Kampung yang paling hampir dengan rakyat lazimnya tidak mempunyai pejabat rasmi.
“Hari ini Ketua Daerah mempunyai pejabat, Ketua Anak Negeri juga mempunyai pejabat, tetapi Ketua Kampung yang berada paling hampir dengan rakyat lazimnya tidak mempunyai pejabat rasmi untuk menjalankan urusan pentadbiran kampung.
“Akibat daripada itu, banyak urusan pentadbiran kampung masih dijalankan dari rumah persendirian Ketua Kampung sehingga menyukarkan penyimpanan dan penyerahan rekod apabila berlaku pertukaran jawatan,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Tuaran itu, pusat berkenaan boleh menempatkan Pejabat Ketua Kampung, Pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ruang penyimpanan rekod rasmi, Kamar Bicara Mahkamah Anak Negeri serta Bilik Gerakan Pembangunan Kampung bagi menyelaras program dan projek kerajaan.
Katanya, jika Kerajaan Persekutuan mempunyai Putrajaya, Kerajaan Negeri mempunyai Pusat Pentadbiran Negeri dan setiap daerah mempunyai Pejabat Daerah, maka setiap kampung juga sewajarnya memiliki Pusat Pentadbiran Kampung.
“Dengan adanya pusat seperti ini, pentadbiran kampung akan menjadi lebih sistematik, lebih telus, lebih cekap dan lebih profesional.
“Di sinilah pentadbiran dijalankan, pembangunan diselaraskan, rekod dipelihara dan perpaduan masyarakat diperkukuhkan. Inilah satu pelaburan institusi yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.
Selain itu, Madius turut mencadangkan Kerajaan Negeri melaksanakan Program Pensijilan Kompetensi bagi Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung berasaskan standard ISO/IEC 17024 bagi memperkukuh pembangunan kompetensi pemegang jawatan berkenaan.
Katanya, pensijilan itu boleh meliputi bidang kepimpinan, tadbir urus, undang-undang, adat anak negeri, integriti, penyelesaian konflik, pengurusan komuniti dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Hari ini, tanggungjawab Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung jauh lebih besar daripada dahulu kerana mereka menjadi orang pertama dihubungi apabila berlaku kematian, kebakaran, banjir, bencana alam serta pelbagai urusan pentadbiran yang lain.
“Tujuan program pensijilan ini bukan untuk menyusahkan pemegang jawatan, tetapi untuk mengangkat martabat institusi kepimpinan adat Sabah supaya lebih profesional dan diyakini masyarakat,” katanya.
Beliau berharap kerajaan akan terus menilai keberkesanan pelaksanaan RUU itu serta mempertimbangkan penambahbaikan termasuk memperkenalkan program pensijilan berkenaan sebagai penanda aras kepada negeri-negeri lain di Malaysia.
Dalam perbahasannya, Madius turut menyentuh Fasal 4 yang memperuntukkan fungsi dan tanggungjawab serta Fasal 5 berkaitan elaun, faedah dan keistimewaan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung.
“Sekiranya kedua-dua fasal ini terus diperkasakan dari semasa ke semasa, Sabah akan mempunyai sebuah institusi kepimpinan adat yang bukan sahaja dihormati oleh masyarakat, malah mampu menjadi rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan dasar, menyelesaikan masalah rakyat dan memacu pembangunan di peringkat akar umbi,” katanya.
Pada masa sama, beliau mencadangkan supaya proses pelantikan Ketua Kampung melibatkan saringan dan perundingan bersama masyarakat setempat.
Menurutnya, cadangan itu bukan bertujuan mengurangkan kuasa kerajaan atau menteri yang diberi kuasa melantik, sebaliknya membantu memilih calon yang benar-benar berwibawa dan diterima rakyat.
“Ketua Kampung yang baik bukan sahaja memenuhi syarat undang-undang, tetapi mestilah mendapat keyakinan masyarakat yang dipimpinnya.
“Maklumat sebegitu selalunya hanya diketahui oleh masyarakat setempat dan sukar dikenal pasti melalui semakan pentadbiran semata-mata, sekali gus menjadikan penglibatan komuniti sebagai nilai tambah kepada proses pelantikan,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman pelaksanaan proses pemilihan Ketua Kampung di Daerah Kecil Tamparuli menunjukkan penglibatan masyarakat membantu mengenal pasti calon yang sesuai.
“Apabila seseorang Ketua Kampung mendapat kepercayaan rakyat, beliau lebih mudah menyatukan masyarakat, menyelesaikan pertikaian secara damai serta menggerakkan pembangunan kampung.
“Akhirnya, yang mendapat manfaat ialah kerajaan sendiri kerana dasar dan program kerajaan lebih mudah dilaksanakan dengan kerjasama masyarakat,” katanya.
































