Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd. Sainal
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memastikan kempen Tahun Melawat Sabah 2027 (Visit Sabah Year 2027) bukan sahaja meningkatkan jumlah ketibaan pelancong, malah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat secara menyeluruh kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pemain industri pelancongan, pengusaha pelancongan berasaskan komuniti serta usahawan tempatan di seluruh Sabah.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd. Sainal berkata, Tahun Melawat Sabah 2027 telah diangkat sebagai agenda strategik Kerajaan Negeri yang memberi penekanan bukan sahaja kepada peningkatan ketibaan pelancong, tetapi juga kepada pengagihan manfaat ekonomi secara inklusif merentasi pelbagai sektor.
Beliau berkata, walaupun sektor pelancongan Sabah berdepan cabaran akibat konflik geopolitik yang memberi kesan langsung kepada industri, kementerian tetap komited menerajui pelaksanaan kempen berkenaan melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan mampan.
Katanya, kementerian kini sedang merangka strategi pembangunan rantaian nilai pelancongan yang merangkumi sektor penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, kraftangan serta produk pelancongan berasaskan komuniti bagi memastikan limpahan ekonomi dapat dinikmati sehingga ke peringkat akar umbi.
“Bagi memastikan pelaksanaan kempen ini benar-benar memenuhi keperluan industri, sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan dan pelbagai pihak berkepentingan sedang dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan serta menyelaras program dan aktiviti yang akan dianjurkan sempena Tahun Melawat Sabah 2027,” katanya ketika menjawab pertanyaan ADUN Luyang, Datuk Samuel Wong Tshun Chuen pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dr. Andi berkata, penyertaan aktif semua pihak amat penting dalam memastikan kejayaan kempen tersebut, khususnya dalam memperkukuh daya saing industri pelancongan negeri.
Sehubungan itu, katanya, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan memperhebat usaha promosi dan pemasaran secara bersasar, termasuk membantu memasarkan pakej pelancongan tempatan, memperluaskan akses pasaran kepada pengusaha kecil serta menyediakan insentif dan sokongan promosi kepada pemain industri, khususnya PKS dan komuniti setempat.
Beliau berkata, pendekatan itu diharap dapat memperkukuh ekosistem pelancongan negeri, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan tempatan dan komuniti luar bandar menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
“Kerajaan yakin melalui kerjasama erat antara kementerian, agensi berkaitan, pemain industri dan komuniti setempat, kempen ini bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelancong ke Sabah, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan di seluruh negeri,” katanya.
































