Mohd. Ishak Ayub
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menolak dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bahawa penukaran RM200 juta deposit tetap Kerajaan Negeri di Sabah Development Bank Berhad (SDBank) kepada Redeemable Preference Shares (RPS) merupakan satu langkah bail-out atau penyelamatan kewangan.
Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Mohd. Ishak Ayub berkata, Kerajaan Negeri tidak menyuntik dana baharu ke dalam SDBank kerana RM200 juta tersebut sememangnya merupakan wang yang telah didepositkan di bank berkenaan.
Beliau berkata, penukaran deposit tetap itu kepada RPS akan mengukuhkan asas modal SDBank, di samping membolehkan Kerajaan menerima dividen tahunan sebanyak 3.15 peratus atau kira-kira RM6.3 juta setahun.
“SDBank dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sabah. Jika bank itu dibiarkan gagal, Kerajaan berdepan risiko menanggung kira-kira RM3 bilion bon tertunggak dan liabiliti lain.
“Pilihan yang ada adalah jelas, sama ada mengukuhkan bank menggunakan dana yang sudah berada dalam SDBank atau berdepan beban kewangan yang jauh lebih besar pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan langkah itu bukanlah satu bail-out, sebaliknya merupakan pengurusan risiko kewangan yang berhemat dan bertanggungjawab.
Ishak berkata, sejak separuh kedua tahun 2023, lembaga pengarah dan pengurusan baharu SDBank telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani kelemahan tadbir urus yang berlarutan sejak sekian lama, termasuk mengiktiraf kemerosotan aset terdahulu serta melaksanakan program transformasi menyeluruh.
Katanya, walaupun langkah tersebut menyebabkan kerugian jangka pendek, ia berjaya meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti melalui gambaran yang lebih tepat mengenai kedudukan kewangan bank.
Beliau berkata, instrumen hutang SDBank masih mengekalkan penarafan AA1/Stable/P1 oleh RAM Ratings, mencerminkan keyakinan terhadap kepentingan strategik bank itu, sokongan Kerajaan Negeri serta keupayaannya memenuhi obligasi kewangan sambil meneruskan proses pemulihan.
Dalam masa sama, Ishak turut mempertikaikan kritikan Mohd. Shafie terhadap prestasi pemulihan pinjaman tidak berbayar (NPL) di SDBank.
Menurutnya, sepanjang tempoh dua tahun pentadbiran Mohd. Shafie, kutipan tunai daripada NPL hanya berjumlah RM260 juta.
“Sebaliknya, sejak Julai 2023, lembaga pengarah dan pengurusan semasa telah berjaya memperoleh semula kira-kira RM3.3 bilion secara tunai walaupun mewarisi portfolio NPL yang besar,” katanya.
Beliau turut menyifatkan dakwaan bahawa Sabah International Petroleum Sdn. Bhd. (SIP) menerima bail-out sebagai mengelirukan.
Katanya, melalui proses penstrukturan semula yang berdisiplin, termasuk penerbitan Sukuk Wakalah bernilai RM900 juta serta pemindahan pegangan ekuiti 10 peratus SIP dalam LNG9 kepada SMJ Energy, syarikat itu kini bebas hutang dan berada dalam kedudukan kewangan yang lebih kukuh.
Menurutnya, SIP juga berjaya memperoleh jaminan hasil untuk tempoh 10 tahun lagi susulan lanjutan aset syarikat itu di Indonesia baru-baru ini.
“Ini bukan bail-out. Ia adalah penstrukturan semula yang berjaya, yang memelihara aset strategik negeri, memulihkan kemampanan kewangan dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk Sabah,” katanya.
Ishak turut menolak dakwaan bahawa Kerajaan Negeri mengutamakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berbanding perkhidmatan asas kepada rakyat.
Beliau berkata, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 menyediakan peruntukan besar untuk loji rawatan air, rumah pam, jalan raya, jambatan, bekalan air luar bandar, perumahan, pendidikan dan kebajikan.
“Tiada pihak swasta yang mendapat manfaat daripada keputusan ini. SDBank, SIP dan SMJ Energy dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sabah,” katanya.
Menurut Ishak, Kerajaan semasa memilih untuk menangani dan menyelesaikan masalah yang diwarisi berbanding menafikan kewujudannya atau menyerahkannya kepada generasi akan datang.
“Datuk Seri Mohd. Shafie berhak meneliti keputusan Kerajaan. Namun perbahasan awam mesti berasaskan fakta.
“Melabelkan penstrukturan semula kewangan yang bertanggungjawab sebagai ‘bail-out’ secara berulang kali tidak menjadikannya benar, dan ia juga tidak menawarkan alternatif dasar yang lebih meyakinkan,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri akan terus membuat keputusan yang bertanggungjawab bagi melindungi kedudukan kewangan Sabah, mempertahankan aset strategik negeri serta menjamin kepentingan jangka panjang rakyat Sabah.
































