Ceasar Mandela Malakun
KOTA KINABALU: Jumlah penerima Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) di DUN Merotai dan Parlimen Kalabakan menunjukkan peningkatan ketara pada tahun ini berbanding 2025, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Beliau berkata, Program SYUKUR kini memasuki fasa kedua pelaksanaannya yang melibatkan seramai 140,000 penerima di seluruh Sabah bagi tahun 2026.
Menjawab soalan ADUN Merotai, Sarifuddin Hata pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, Mandela berkata, bagi DUN Merotai, jumlah penerima meningkat daripada 993 Ketua Isi Rumah (KIR) pada 2025 kepada 1,624 KIR pada 2026.
“Bagi Parlimen Kalabakan pula, jumlah penerima Program SYUKUR meningkat daripada 3,254 Ketua Isi Rumah pada 2025 kepada 5,263 Ketua Isi Rumah pada tahun ini,” katanya.
Mandela berkata, peningkatan jumlah penerima itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai golongan memerlukan menerima manfaat bantuan kebajikan yang disediakan.
“Kerajaan Negeri kekal komited untuk memperkukuh pelaksanaan Program SYUKUR serta pelbagai inisiatif di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai usaha berterusan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Program SYUKUR merupakan antara inisiatif kebajikan Kerajaan Negeri yang menyediakan bantuan bulanan kepada golongan miskin dan miskin tegar bagi membantu meringankan kos sara hidup mereka.
































