Donald Peter Mojuntin
KOTA KINABALU: ADUN Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin mencadangkan agar kerajaan menetapkan syarat minimum pelantikan bagi Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri (KAN) dan Ketua Kampung (KK) bagi memastikan jawatan berkenaan diisi individu yang berkelayakan, berintegriti dan kompeten.
Membahas Rang Undang-Undang Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, beliau berkata, langkah itu boleh dilaksanakan sama ada menerusi enakmen berkenaan atau peraturan-peraturan yang akan digubal kemudian.
Donald berkata, beliau menyokong rang undang-undang itu kerana ia merupakan langkah yang telah lama dinantikan untuk memperkukuhkan institusi Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung sebagai pemimpin masyarakat serta penghubung utama antara kerajaan dan rakyat.
“RUU ini memperjelaskan kuasa pelantikan, fungsi, tanggungjawab dan penamatan pelantikan, sekali gus memperkukuhkan institusi kepimpinan masyarakat di Sabah,” katanya.
Menurut beliau, antara syarat yang wajar dipertimbangkan termasuk kelayakan akademik yang bersesuaian, pengetahuan asas mengenai adat, Mahkamah Anak Negeri dan pentadbiran kerajaan, selain mempunyai rekod integriti yang baik serta bebas daripada kesalahan jenayah serius atau rasuah.
Beliau turut mencadangkan agar calon yang dilantik diterima dan dihormati masyarakat, mempunyai kemahiran komunikasi serta penyelesaian konflik, selain bersedia mengikuti latihan wajib berkaitan pentadbiran, integriti, pengurusan bencana dan teknologi digital.
“Ketua Kampung hari ini bukan lagi sekadar menjaga hal ehwal adat. Mereka berurusan dengan pelbagai jabatan kerajaan, mengurus data penduduk, mengesahkan dokumen serta menjadi penghubung utama antara rakyat dan kerajaan.
“Oleh itu, jawatan ini perlu dilihat sebagai satu institusi kepimpinan masyarakat yang profesional, berintegriti dan berwibawa,” katanya.
Dalam pada itu, Donald turut mencadangkan agar Kerajaan menghidupkan semula Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri Sabah yang sedia ada bagi dijadikan pusat latihan rasmi untuk Ketua Daerah, KAN dan KK.
Katanya, daripada membina institusi baharu, lebih baik bangunan dan kemudahan yang telah dibina menggunakan wang rakyat dibaik pulih dan dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau berkata, latihan perlu diberikan sebelum pelantikan dan diteruskan secara berkala meliputi aspek pentadbiran, Mahkamah Anak Negeri, adat istiadat, integriti, kepimpinan komuniti, pengurusan bencana, penyelesaian konflik serta penggunaan teknologi digital.
“Dengan cara ini, kita bukan sahaja mengelakkan pembaziran aset awam, malah melahirkan pemimpin masyarakat yang lebih kompeten dan berintegriti,” katanya.
Donald juga mencadangkan supaya diwujudkan mekanisme penilaian prestasi berkala bagi memastikan setiap Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung melaksanakan amanah yang diberikan dengan berkesan.
Menurutnya, penilaian boleh mengambil kira kehadiran latihan, penyelesaian aduan rakyat, kerjasama dengan agensi kerajaan, pematuhan etika serta maklum balas masyarakat.
“Undang-undang yang baik mesti disusuli dengan pelantikan individu yang benar-benar berkelayakan, berintegriti dan kompeten.
“Apabila kita memperkukuhkan kualiti Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung, kita bukan sahaja memperkukuhkan institusi Mahkamah Anak Negeri, malah memperkukuhkan pentadbiran akar umbi dan masa depan Sabah,” katanya.
































