Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkukuh usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya golongan B40 serta belia yang masih menganggur, menerusi pelbagai program latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan dan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Kerajaan komited memastikan lebih ramai belia memiliki kemahiran, berdaya saing dan mampu menjana pendapatan sama ada melalui sektor pekerjaan mahupun keusahawanan.
Beliau berkata, antara strategi utama yang dilaksanakan kementeriannya ialah meningkatkan kebolehpasaran belia menerusi latihan kemahiran jangka pendek berasaskan komuniti (home-based) serta latihan jangka panjang yang memberi tumpuan kepada sektor pelancongan, pertanian dan perindustrian.
Selain itu, katanya, Kerajaan turut memperkasakan keusahawanan belia melalui penyediaan geran permulaan perniagaan, latihan keusahawanan, program bimbingan mentor serta pemantauan berterusan bagi membantu usahawan muda membina perniagaan yang mampan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat.
“Kerajaan juga memperluaskan akses pasaran kepada usahawan melalui penganjuran karnival, ekspo, program promosi dan penyertaan dalam pelbagai platform pemasaran bagi membantu mereka memasarkan produk serta perkhidmatan dengan lebih meluas, sekali gus meningkatkan pendapatan,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Nizam berkata, kementerian turut memperkukuhkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan, institusi latihan dan sektor swasta termasuk Jabatan Pembangunan Sumber Manusia serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memperluaskan peluang latihan dan penempatan pekerjaan kepada golongan belia.
Menurutnya, usaha meningkatkan peluang pekerjaan bukan hanya dipikul oleh kementeriannya semata-mata, sebaliknya turut dilaksanakan oleh kementerian lain, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui pelbagai program pembangunan kemahiran yang menyasarkan golongan belia, khususnya daripada keluarga B40.
Beliau berkata, pelbagai sektor ekonomi di Sabah terus membuka peluang pekerjaan termasuk industri minyak sawit dan pemprosesan makanan, pelancongan dan perkhidmatan, pembinaan serta infrastruktur, perkapalan, logistik dan pelabuhan, akuakultur dan perikanan selain sektor digital dan ekonomi kreatif yang semakin berkembang.
Dalam jawapan tambahannya, beliau memaklumkan kementerian turut menganjurkan Kursus Pemprosesan Hasilan Daging Ayam sebagai antara inisiatif meningkatkan kemahiran dan peluang menjana pendapatan dalam kalangan peserta.
Bagi daerah Nabawan, katanya, usahawan belia turut diberi peluang memohon Dana Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) bagi membantu mereka memulakan atau mengembangkan perniagaan.
“Selain bantuan kewangan, kementerian turut menyediakan program susulan meliputi bimbingan, pemantauan dan pembangunan kapasiti bagi memastikan peserta mampu mengembangkan perusahaan secara mampan. Setakat ini, seramai 11 usahawan belia di Nabawan telah berjaya menerima Dana SYABAS,” katanya.
Beliau berkata, kementerian juga terus mendekati masyarakat luar bandar melalui Program Belia Turun Padang yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, kesukarelawanan, pembangunan komuniti, kesedaran sosial dan aktiviti sukan.
Katanya, program yang diadakan di Pusat Eko Pelancongan Sangkaliwara, Sepulut pada 15 hingga 17 April lalu itu berjaya menghimpunkan seramai 247 peserta terdiri daripada belia, masyarakat setempat dan kanak-kanak.
Nizam berkata, pendekatan bersepadu yang dilaksanakan Kerajaan itu diharap dapat memperkasakan golongan belia dengan kemahiran, peluang keusahawanan dan akses kepada pasaran pekerjaan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat serta pembangunan ekonomi Sabah secara menyeluruh.
































