Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: POIC Port Lahad Datu mempunyai kelebihan semula jadi yang bukan sahaja mampu menjimatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri dalam jangka panjang, malah berpotensi menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sektor pembuatan, logistik dan pelaburan antarabangsa di Sabah.
ADUN Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pelabuhan itu mempunyai kelebihan unik sebagai pelabuhan air dalam semula jadi yang membolehkan kapal bersaiz besar berlabuh tanpa memerlukan kerja-kerja pengorekan dasar laut secara berterusan seperti yang diperlukan di beberapa pelabuhan lain.
Menurut beliau, kelebihan tersebut memberi manfaat besar dari segi operasi dan kos penyelenggaraan pelabuhan.
“Setiap tahun sejumlah besar wang perlu dibelanjakan untuk mengorek kelodak, mendalamkan alur pelayaran dan mengurus pembentukan sand bar di pelabuhan-pelabuhan tertentu, berbeza dengan POIC Port yang dikurniakan kelebihan semula jadi tersebut.
“Kelebihan ini bukan sahaja memberikan kelebihan operasi kepada pelabuhan, malah menjimatkan perbelanjaan Kerajaan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Pindaan) 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Madius yang juga Pengerusi POIC Sabah Sdn. Bhd. berkata, Kerajaan Negeri perlu menggubal strategi yang lebih menyeluruh bagi memanfaatkan sepenuhnya kelebihan semula jadi POIC Port untuk menarik lebih banyak industri berat, industri hiliran, hab logistik dan pelaburan antarabangsa ke negeri ini.
Beliau menegaskan POIC tidak boleh dilihat hanya sebagai sebuah pelabuhan semata-mata kerana ia dibangunkan sebagai sebahagian daripada ekosistem perindustrian yang menghubungkan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, pelabur dan rantaian bekalan global.
“POIC Port merupakan antara aset strategik Sabah yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Menurut beliau, usaha memaksimumkan potensi POIC Port juga perlu dilihat dalam konteks pembangunan ekonomi negeri yang lebih luas, khususnya bagi meningkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi Sabah.
Madius berkata, Sabah memerlukan ekonomi yang lebih berdaya tahan dan matlamat itu hanya dapat dicapai melalui pembangunan sektor pembuatan yang lebih kukuh.
Katanya, sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi Sabah ketika ini masih sekitar 7.2 peratus, jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri perindustrian utama seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
“Jika Sabah benar-benar mahu meningkatkan sumbangan sektor pembuatan sehingga melebihi 30 peratus pada masa hadapan, maka pelabuhan mesti menjadi sebahagian daripada strategi tersebut.
“Tanpa pelabuhan yang cekap dan mesra pelabur, matlamat itu sukar dicapai,” katanya.
Beliau berkata, pelabuhan pada masa kini bukan lagi sekadar infrastruktur pengangkutan, sebaliknya berfungsi sebagai pintu masuk pelaburan, pemangkin sektor pembuatan dan nadi perdagangan antarabangsa.
Justeru, beliau berharap Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dapat berkembang daripada peranan tradisional sebagai badan kawal selia kepada sebuah organisasi yang bertindak sebagai pemudah cara pelaburan dan pembangunan ekonomi negeri.
“Pelabuhan mesti menjadi rakan strategik kepada sektor pembuatan, logistik, eksport dan semua agensi yang berusaha membawa pelaburan ke Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Madius turut mencadangkan penubuhan Majlis Penyelarasan Pelabuhan dan Industri Sabah bagi menyelaraskan usaha semua pihak yang terlibat dalam menarik pelaburan dan memudah cara urusan pelabur.
Menurut beliau, majlis itu wajar dipengerusikan oleh menteri yang bertanggungjawab terhadap pelabuhan dengan keanggotaan melibatkan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Suria Capital Berhad, POIC, Invest Sabah Berhad, SEDIA, MIDA, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Laut Malaysia serta wakil sektor swasta.
“Tujuannya ialah memastikan semua agensi bergerak sebagai satu pasukan untuk menarik pelaburan dan menyelesaikan masalah pelabur dengan pantas.
“Pelabur tidak melihat Sabah melalui lensa agensi yang berasingan sebaliknya menilai kecekapan Sabah secara keseluruhan sebagai destinasi pelaburan.
“Mereka tidak membezakan antara Lembaga Pelabuhan, Kastam, Imigresen atau Invest Sabah. Yang mereka lihat ialah kecekapan Sabah sebagai sebuah destinasi pelaburan.
“Semua agensi berkenaan mesti berkongsi satu matlamat iaitu menjadikan Sabah negeri yang paling mesra pelabur di Malaysia,” katanya.
Madius berkata, beliau menyokong pindaan yang dibawa menerusi RUU berkenaan dan berharap ia menjadi titik permulaan kepada transformasi besar dalam pengurusan pelabuhan-pelabuhan Sabah supaya mampu memainkan peranan lebih berkesan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
































