Donald Peter Mojuntin
KOTA KINABALU: ADUN Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin menggesa Kerajaan Sabah mengambil kepimpinan dalam menyelesaikan isu pengiktirafan Sijil Perkahwinan Mahkamah Anak Negeri (MAN) yang didakwa masih menimbulkan kesukaran kepada rakyat dalam urusan dengan beberapa agensi kerajaan.
Membahas Rang Undang-Undang Mahkamah Anak Negeri di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, beliau berkata, walaupun Kerajaan komited memperkasa institusi Mahkamah Anak Negeri, pengiktirafan terhadap institusi itu tidak seharusnya terhenti setakat penggubalan enakmen semata-mata.
“Jika kita benar-benar mahu memperkasa Mahkamah Anak Negeri, maka dokumen yang dikeluarkan olehnya mestilah mempunyai kedudukan yang jelas serta diterima oleh semua agensi kerajaan.
“Apabila rakyat memilih untuk berkahwin mengikut undang-undang yang sah di Sabah, mereka berhak mendapat layanan yang sama daripada semua agensi kerajaan tanpa perlu melalui kesukaran birokrasi yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Donald berkata, persoalan yang perlu diberi perhatian ialah sama ada Sijil Perkahwinan Mahkamah Anak Negeri Sabah benar-benar diiktiraf oleh semua agensi Kerajaan Persekutuan, khususnya Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Luar Negeri serta kedutaan Malaysia di luar negara.
Menurutnya, maklumat yang diterima menunjukkan sijil berkenaan pernah diterima bagi pelbagai urusan rasmi, namun kini terdapat kes di mana dokumen yang sama tidak lagi diterima, terutama dalam permohonan visa pasangan bagi pasangan warga asing.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan kekeliruan dan dipercayai berpunca daripada kurangnya kefahaman pegawai di jabatan yang mengamalkan undang-undang sivil mengenai kedudukan undang-undang adat Sabah.
“Akibat daripada kekeliruan ini, rakyat Sabah menjadi mangsa. Ada pasangan yang telah berkahwin secara sah di Mahkamah Anak Negeri, hidup sebagai suami isteri selama bertahun-tahun dan mempunyai anak yang didaftarkan sebagai warganegara Malaysia, tetapi apabila ingin memohon visa untuk pasangan mereka, sijil perkahwinan tersebut tidak diterima.
“Lebih menyedihkan lagi, terdapat pasangan yang dinasihatkan supaya berkahwin semula mengikut undang-undang sivil semata-mata bagi memenuhi kehendak prosedur pentadbiran,” katanya.
Donald berkata, keadaan itu bukan sahaja membebankan rakyat dari segi kos dan masa, malah seolah-olah mempertikaikan kesahihan institusi perundangan yang diwujudkan sendiri oleh Kerajaan Sabah.
Beliau turut membangkitkan kesukaran yang dihadapi rakyat Sabah yang tinggal atau bekerja di luar negara apabila sijil perkahwinan adat mereka tidak difahami oleh pihak kedutaan atau kerajaan asing.
Katanya, terdapat juga isu berkaitan dasar non-polygamy policy yang digunakan dalam sistem sivil yang tidak mengambil kira ciri-ciri khusus perkahwinan adat Sabah sehingga menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem Mahkamah Anak Negeri.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa cadangan termasuk pengiktirafan rasmi oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bahawa isu berkenaan wujud dan memerlukan penyelesaian menyeluruh.
Donald turut mencadangkan supaya Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah mengadakan mesyuarat penyelarasan khas melibatkan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Pejabat Hal Ehwal Anak Negeri, wakil Mahkamah Anak Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Bahagian Protokol dan Konsular, Kementerian Kesihatan serta agensi berkaitan.
Selain itu, beliau mencadangkan pindaan kepada dasar atau enakmen berkaitan bagi memastikan status sijil perkahwinan Mahkamah Anak Negeri tidak lagi dipersoalkan, selain mewujudkan sistem integrasi digital antara Mahkamah Anak Negeri dan JPN bagi membolehkan status perkahwinan disemak secara terus oleh semua agensi.
“Sijil perkahwinan Mahkamah Anak Negeri hendaklah mempunyai versi rasmi dalam Bahasa Inggeris dengan format yang memenuhi piawaian antarabangsa.
“Ini akan memudahkan penggunaannya di kedutaan, pejabat imigresen negara asing, institusi kewangan serta mana-mana urusan antarabangsa,” katanya.
Beliau juga menggesa Mahkamah Anak Negeri memperkukuh usaha penerangan kepada masyarakat mengenai prosedur dan kedudukan undang-undang perkahwinan adat, di samping meningkatkan latihan serta pendedahan kepada pegawai agensi Persekutuan supaya lebih memahami sistem perundangan adat Sabah.
Donald berkata, penyelarasan yang lebih baik antara Mahkamah Anak Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara penting bagi memastikan prosedur perkahwinan adat dan sivil dapat dilaksanakan secara selaras tanpa menjejaskan keunikan sistem perundangan Sabah.
“Saya berharap Kerajaan Sabah akan mengambil kepimpinan dalam menyelesaikan isu ini bersama Kerajaan Persekutuan agar sijil perkahwinan Mahkamah Anak Negeri benar-benar dihormati, diiktiraf dan diterima bukan sahaja di Sabah dan Malaysia, malah juga di peringkat antarabangsa.
“Dengan itu, kita bukan sahaja mempertahankan martabat Mahkamah Anak Negeri, tetapi juga menjaga maruah, kebajikan dan kesejahteraan keluarga-keluarga Sabah,” katanya.
































