KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bersama Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu sebuah premis yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram di daerah ini.
Dalam operasi itu, sebanyak sembilan mesin bitcoin serta pelbagai kelengkapan lain termasuk kabel dan papan suis yang digunakan untuk membuat penyambungan elektrik secara haram daripada talian milik Sabah Electricity disita.
Nilai keseluruhan peralatan yang dirampas dianggarkan mencecah RM100,000.
ECoS dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai menggunakan bekalan elektrik secara tidak sah bagi menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kerugian hasil akibat penggunaan elektrik yang tidak dapat dibilkan oleh Sabah Electricity dianggarkan berjumlah RM15,000 sebulan.
Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 61(3) dan Seksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Di bawah Seksyen 61(3), pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Seksyen 61(8) memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
ECoS menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan penyambungan elektrik secara haram yang bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada pembekal elektrik, malah boleh mengundang risiko keselamatan kepada orang awam.
































