Ewon (tengah) bergambar bersama kesemua wakil penerima Tamu Desa.
NABAWAN: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, pembinaan empat premis Tamu Desa baharu di daerah ini merupakan antara usaha kerajaan menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada para peniaga dan pengunjung, sekali gus memperkukuh ekonomi luar bandar.
Beliau berkata, keempat-empat premis Tamu Desa itu dibina dengan peruntukan keseluruhan RM600,000, masing-masing di Kampung Bahagia, Kampung Sinsingon, Kampung Kapulutan dan Kampung Murni, dan kini dimanfaatkan oleh para peniaga serta komuniti setempat.
“Kesemua Tamu Desa itu dibina menerusi peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah inisiatif Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang diperkenalkan ketika saya menerajui kementerian itu.
“Saya berharap kemudahan yang lebih selesa ini dapat memberi manfaat kepada komuniti usahawan tamu dan para pengunjung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan empat premis Tamu Desa Daerah Nabawan, di sini, hari ini.
Ewon berkata, beliau yang kini menerajui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah akan terus merencana pelbagai inisiatif baharu bagi memperkukuh pembangunan keusahawanan di negeri ini selaras dengan Wawasan dan Agenda Sabah First.
“Saya akan terus memberi perhatian kepada keperluan sektor keusahawanan bagi memastikan lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Nabawan, Marshall Anthony @ Idaham, Ketua Polis Daerah Keningau Supt. Yampil Anak Garai, wakil-wakil ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan dan pemimpin masyarakat setempat.
































