KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor dengan kerjasama Unit Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Bingkor akan menganjurkan Program NeuroHope di Dewan Sekolah Kebangsaan Bingkor pada 18 Julai ini.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), selain memperkukuhkan sokongan komuniti dalam mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan mesra kepada golongan tersebut.
Jawatankuasa pelaksana program dipengerusikan bersama oleh Guru PPKI SK Bingkor, Dr. Velerie Wheeleervonn Primus dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles.
Pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang program itu, antaranya ceramah kesedaran, pameran pendidikan khas, Jualan Rahmah, kempen derma darah serta pemeriksaan kesihatan termasuk pemeriksaan mata dan saringan kesihatan.
Dr. Velerie berkata, NeuroHope diwujudkan sebagai platform komuniti yang menghubungkan ibu bapa, pendidik, pakar dan masyarakat dalam usaha meningkatkan pemahaman terhadap keperluan serta potensi MBPK.
“Program ini bukan sekadar perkongsian maklumat, tetapi menjadi ruang untuk membina masyarakat yang lebih inklusif, penyayang dan menghormati kepelbagaian keupayaan setiap individu.
“Kami mahu masyarakat memahami bahawa setiap kanak-kanak mempunyai potensi yang boleh dikembangkan sekiranya mendapat sokongan dan peluang yang sewajarnya,” katanya.
Menurut beliau, NeuroHope menghimpunkan tiga bidang kepakaran utama iaitu pendidikan khas, psikiatri dan terapi cara kerja bagi memberikan pendedahan yang lebih menyeluruh kepada peserta.
Katanya, guru pendidikan khas akan berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pendidikan MBPK, manakala doktor psikiatri akan menyentuh aspek perkembangan neuro, kesihatan mental dan kepentingan intervensi awal.
“Juru terapi cara kerja pula akan berkongsi strategi intervensi dan sokongan praktikal yang boleh membantu perkembangan fungsi harian serta pembelajaran kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, Yazid berkata, program tersebut merupakan antara usaha memperkasakan kesedaran masyarakat mengenai pendidikan khas melalui pendekatan komuniti.
Beliau berkata, program seumpama itu amat penting bagi memastikan ibu bapa, guru dan masyarakat memperoleh maklumat yang tepat mengenai MBPK serta memahami peranan masing-masing dalam menyokong perkembangan golongan berkenaan.
“Program NeuroHope merupakan antara program seumpamanya yang julung kali diadakan di daerah Keningau dan antara yang terawal di Sabah.
“Justeru, saya mengajak ibu bapa, guru-guru, penjaga, pemimpin komuniti dan masyarakat umum untuk hadir serta memanfaatkan peluang ini bagi menambah pengetahuan dan memahami dengan lebih mendalam keperluan serta potensi MBPK,” katanya.
Beliau berharap program itu akan menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang lebih prihatin, inklusif dan menerima kepelbagaian, selaras dengan aspirasi untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.






























