Justinus mewakili James menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang Program KV Skills Peringkat Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2026.
TAWAU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir bertaraf dunia yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, selaras dengan perkembangan teknologi, automasi dan pendigitalan, TVET kini menjadi antara pemacu utama dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing.
Menurutnya, institusi kolej vokasional di Sabah dan Labuan terus menjadi penyumbang penting kepada pembangunan tenaga kerja mahir negara, sekali gus menjadikan bidang TVET semakin mendapat perhatian dalam kalangan ibu bapa dan pelajar.
“Prospek kerjaya yang semakin luas menyebabkan semakin ramai memilih bidang kemahiran sebagai laluan pendidikan dan kerjaya,” katanya ketika merasmikan Program KV Skills Peringkat Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2026 di Kolej Vokasional Tawau, kelmarin. Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang,
James berkata, Program KV Skills bukan sekadar pertandingan untuk menentukan pemenang, sebaliknya menjadi platform penting bagi menguji kompetensi pelajar, memperkukuhkan keyakinan diri, membudayakan amalan kerja profesional serta memupuk semangat kerjasama dan kesukanan.
Katanya, pertandingan itu turut memberi peluang kepada peserta menilai keupayaan masing-masing berdasarkan standard industri sebenar sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap penyertaan memberangsangkan daripada kolej-kolej vokasional seluruh Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurutnya, penyertaan itu membuktikan pelajar TVET bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal yang tinggi, malah mempunyai kreativiti, inovasi serta semangat juang untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
James mengingatkan para peserta supaya menjadikan pertandingan itu sebagai medan pembelajaran yang bernilai, dengan menegaskan bahawa pengalaman, ilmu, jaringan profesional dan nilai murni yang diperoleh adalah lebih penting daripada kemenangan semata-mata.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pensyarah, jurulatih dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dalam membimbing pelajar sehingga berjaya mengembangkan potensi mereka.
Beliau berharap Program KV Skills akan terus menjadi platform melahirkan graduan TVET yang kompeten, berintegriti dan bersedia memenuhi keperluan industri masa kini serta masa hadapan.
“Kerajaan akan terus menyokong usaha memperkasa agenda TVET sebagai antara pemacu utama pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Program KV Skills Peringkat Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2026 menghimpunkan pelajar kolej-kolej vokasional dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi mempamerkan kemahiran, kreativiti dan kompetensi dalam pelbagai bidang mengikut standard industri.
Turut hadir Pengerusi Majlis Pengarah Kolej Vokasional Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merangkap Pengarah Kolej Vokasional Lahad Datu, Ahmad Fakhurazi Hamzah; Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Mat Noor Sima; Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Zagina @ Sulaiman Achmad; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Kolej Vokasional Tawau, Haji Ishak Japar; Timbalan Pengarah Akademik Kolej Vokasional Tawau, Dr. Azman Mansor; Ketua Jaminan Kualiti Kolej Vokasional Tawau, Lim Siew Khing; serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tawau, Haji Abd. Rahman Lo.
































