Rina (tengah) ketika ditemui media.
TAWAU: Kerajaan Negeri komited meletakkan agenda perlindungan wanita antara keutamaan tertinggi dalam memperkasa kesejahteraan kaum hawa.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal berkata pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan bagi melindungi wanita daripada menjadi mangsa keganasan serta memperkasa kaum hawa.
“Kerajaan Negeri memperkasakan rangkaian sokongan tempatan menerusi program-program kesedaran undang-undang, sokongan psikologi serta perlindungan sementara yang selamat bagi mangsa yang memerlukan.
“Sebuah Pusat Bantuan Guaman Wanita telah ditubuhkan di Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) sejak tahun 2018 bagi memberikan perkhidmatan guaman secara percuma kepada wanita tempatan yang memerlukan.
“Justeru, marilah kita menguar-uarkan inisiatif perkhidmatan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kepada semua lapisan masyarakat.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan dana dan sokongan kepada badan badan bukan kerajaan (NGO) Wanita di Sabah untuk bergerak aktif di peringkat akar umbi.
“Kita mahu memastikan struktur sokongan di peringkat negeri sentiasa bersiap siaga, mudah diakses, dan responsif terhadap sebarang keperluan yang dihadapi oleh kaum wanita, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya ketika berucap merasmikan Program Advokasi@KRT Dan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Tawau, di sini pada Rabu.
Rina turut menyeru masyarakat agar menentang sebarang keganasan dan penindasan terhadap wanita memandangkan perkara tersebut merupakan isu sosial yang memberi kesan besar kepada kesejahteraan masyarakat.
“Kita tidak lagi mahu berkompromi dengan sebarang bentuk penindasan di dalam rumah tangga kerana kita sentiasa percaya pemerkasaan wanita dan keharmonian keluarga adalah teras kepada kestabilan sesebuah negeri.
“Jika sesebuah institusi kekeluargaan itu goyah, kesannya akan meresap ke dalam struktur masyarakat.
Justeru, kehadiran kita di sini adalah satu langkah intervensi awal yang amat penting dalam membina kesedaran akar umbi.
“Keganasan rumah tangga bukan lagi isu yang boleh dianggap sebagai urusan peribadi sesebuah keluarga. Sebaliknya, ia merupakan isu sosial yang memberi kesan besar kepada kesejahteraan masyarakat, pembangunan modal insan serta masa depan generasi akan datang.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap mangsa mengetahui hak mereka, berani mendapatkan bantuan dan tidak berdepan dengan cabaran tersebut secara bersendirian,” ujarnya.
Dalam program itu, Rina turut menyampaikan sijil penghargaan dan plak kepada agensi-agensi pelaksana dan pempamer yang bekerjasama menyokong agenda berkenaan antaranya Rumah Perlindungan Wanita Kota Kinabalu, Bahagian Derma Organ dan Fisioterapi Hospital Tawau, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (KASTAM).
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit, Pengarah JHEWA, Haslina Ismail serta Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
































